• Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun, Datuk Ong Kim Swee telah mengumumkan 20 pemain yang akan mewakili negara pada temasya Sukan Asia 2018. Dalam senarai tersebut, penyerang yang baru sahaja pulang daripada menjalani ujian bersama Ruasso Kumamoto, Hadii Fayyadh antara penyerang yang dibawa. Ketibaan Hadi sudah pasti bakal menambah sengat di bahagian serangan pasukan negara.

    Sebelum ini, Datuk Ong menghadapi sedikit masalah apabila N.Thanabalan terpaksa disisihkan akibat daripada kecederaan lutut. Ketika itu, situasi Hadi masih lagi belum pasti kerana beliau baru sahaja memulakan tempoh ujian bersama Ruasso.

    Kini, dengan adanya Hadi, beliau boleh digunakan sebagai pilihan kedua di belakang Syafiq Ahmad sebagai penyerang utama negara ataupun diturunkan dalam kesebelasan utama di samping Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

    Jika melihat kepada prestasi semasa pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee, mereka berada pada prestasi terbaik setelah berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan pemanas badan terakhir. Bahagian pertahanan menjalankan tugas mereka dengan baik apabila sering kali mematahkan gerakan serangan UAE.

    Di bahagian tengah pula, ketiadaan Nor Azam Azih bagaikan tidak dirasai apabila Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran menampilkan satu gandingan yang baik. Manakala di bahagian serangan pula, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid menjadi watak utama dimana mereka berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.

    Ketika ditanya mengenai barisan pemain yang beliau pilih, Datuk Ong berkata “Ini senarai terbaik kita dan saya percaya semua pemain yang disenaraikan mampu menggalas tugas di mana juga mereka diletakkan dalam posisi yang ditetapkan. Ketibaan Hadi juga memberi banyak ruang di bahagian serangan.”

    Apa yang pasti, 20 pemain yang sudah dipilih perlu memberikan 100 % fokus dan juga perhatian mereka bagi memastikan pasukan bawah 23 tahun negara mengatasi cabaran di peringkat kumpulan dan mara ke peringkat seterusnya.

    Pasukan bawah 23 tahun negara akan berdepan Kyrgyzstan pada Rabu ini sebelum bertemu juara bertahan, Korea Selatan pada 17 Ogos dan akan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan menentang pasukan Bahrain pada 20 Ogos. Ayuh Malaysia!

    Baca Juga: Safawi Dan Akhyar Harapan Utama Skuad Bawah 23 Tahun Negara

    Leave a comment

    Your email address will not be published.