• Pasukan Kedah dikhabarkan telah menyisihkan khidmat penyerang import pasukan, Paulo Rangel bagi menghadapi baki saingan Piala Malaysia 2018 kerana ingkar dengan arahan jurulatih ketika Kedah tewas kepada Johor Darul Ta’zim pada Jumaat.

    Menurut laporan Fox Sport Asia, barisan kejurulatihan sudah tidak boleh bertolak ansur dengan sikap tidak professionalnya yang semakin menjadi-jadi dan ianya perkhabaran yang menambah duka buat skuad Lang Merah pada ketika mereka sedang berdepan kemelut prestasi yang kritikal.

    “Kekalahan itu satu perkara, kami menerimanya dengan terbuka kerana kita akur tidak dapat menyenaraikan barisan terbaik sama ada kerana mengalami kecederaan ataupun terlibat dengan skuad B-23 kebangsaan. Tetapi kami tidak boleh terima apa yang Rangel buat,” ujar jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

    Tambah Nidzam, “Dia enggan mengikut arahan untuk memanaskan badan bersama rakan sepasukan lain setelah mendapat tahu namanya tiada dalam kesebelasan utama. Sebelum perlawanan dia juga enggan bersalam dengan barisan pegawai pasukan Kedah sebaliknya duduk di bangku seorang diri.

    “Bolasepak adalah permainan berpasukan dan strategi permainan ditentukan oleh barisan pegawai dan jurulatih. Dia adalah seorang pemain professional tetapi atitudnya tidak mencerminkan sebegitu dan ianya tidak boleh diterima.

    Ketika menentang JDT, Nidzam Adha menurunkan Zafuan Azeman dalam kesebelasan utama dan meletakkan Paulo Rangel di bangku simpanan. Akan tetapi, Nidzam terpaksa mengeluarkan Zafuan kerana kecederaan dan beliau mahu membawa masuk Rangel. Namun, Rangel enggan untuk memanaskan badan sekaligus Nidzam terpaksa melupakan khidmat beliau bagi mengharungi baki saingan Piala Malaysia 2018.

    Sebagai pemain import, Rangel sepatutnya menunjukkan sikap yang profesional dan harus sentiasa bersiap sedia untuk membantu pasukan. Sikap buruk beliau boleh merugikan pasukan dan juga rakan sepasukan yang lain.

    Apa pendapat anda mengenai keputusan pasukan Kedah yang menyisihkan khidmat Paulo Rangel bagi menghadapi baki saingan Piala Malaysia 2018? Mampukah Kedah kembali ke prestasi terbaik mereka tanpa penyerang yang menyertai mereka pada jendela perpindahan kedua Liga Super musim 2018?

    Baca Juga: Prestasi Kedah Makin Merosot

    Leave a comment

    Your email address will not be published.