• Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan akan menghantar pasukan terbaik bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan bermula November ini.

    Semalam, seramai 24 pemain dipanggil oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat pasukan negara bagi persediaan menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Chinese Taipei dan Kemboja.

    Lapan pemain daripada skuad bawah 23 tahun yang beraksi di Sukan Asia 2018 lalu dipanggil kali ini. Namun, kelibat pemain pasukan Pahang, Mohamadou Sumareh tidak kelihatan. Pemain kacukan seperti Natxi Insa juga tidak dipanggil.

    Datuk Hamidin kemudiannya mengulas mengenai situasi Sumareh dan beliau menegaskan ada beberapa perkara yang perlu melalui proses.

    “Kena faham, ada perkara yang perlu melalui proses, tunggu bila sampai masanya, insya-Allah pada Piala AFF nanti, kita akan bawa barisan terkuat,” kata Hamidin ketika ditemui Berita Harian.

    Datuk Hamidin menambah Tan Cheng Hoe perlu menggugurkan beberapa pemain yang telah beraksi bersama pasukan negara sebelum ini. Pengurus pasukan Harimau Malaya ini juga berkata, Cheng Hoe sudah mempunyai bayangan skuad terbaik dan beliau kini dalam proses untuk menilai pemain yang tidak bersama pasukan sebelum ini.

    “Ada beberapa pemain yang kita tinggalkan kerana sudah memanggil mereka sebelum ini, selain ada pemain masih beraksi dalam saingan Piala Malaysia. Jurulatih Tan Cheng Hoe memang sudah ada barisan pemainnya, cuma kita akan umumkan senarai 23 pemain Piala AFF itu selepas bertemu Maldives,” katanya.

    Selepas menentang Taiwan dan Kemboja, pasukan negara akan meneruskan aksi persahabatan dengan menentang Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, Republik Kyrgyztan di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil (3 November).

    Apa yang pasti, gabungan antara pemain muda dan senior dianggap sesuai dan peminat mengharapkan gabungan ini dapat menghasilkan pasukan terbaik. Kali terakhir Malaysia memenangi Piala AFF ialah pada edisi 2010. Sudah pasti peminat mahu melihat pasukan negara mengangkat trofi Piala AFF pada edisi kali ini.

    Baca Juga: Farizal Marlias Kembali!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.