• Kecoh satu Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) serius dalam usaha mereka membawa masuk bekas pemain Barcelona, Ronaldinho. Di sini, penulis berpendapat lupakan saja hasrat mahu membawa masuk Ronaldinho dan cari pemain lain yang lebih muda dan juga tidak menelan kos yang tinggi.

    Kita sedia maklum Perak akan beraksi pada peringkat kelayakkan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan. Bagi menghadapi cabaran di peringkat kelayakkan, Perak memerlukan pemain import yang berkualiti tinggi bagi mengetuai cabaran pasukan.

    PAFA kemudiannya meluahkan hasrat mereka mahu membawa masuk Ronaldinho bagi memperkemaskan pasukan. Hal ini berikutan Ronaldinho yang pernah mengutarakan keinginan beliau untuk beraksi di Malaysia secara percuma selepas tertarik dengan sambutan peminat Liga Malaysia.

    Ramai pihak yang memberi respon berkenaan hajat PAFA ini. Ada yang menyokong dan ada juga yang tidak bersetuju. Menurut yang tidak bersetuju, mengambil pemain bintang kadang-kala boleh memberi impak negatif kepada pasukan kerana bukan saja aspek bola sepak yang perlu diperhalusi, malah aspek kehidupan peribadi pemain juga perlu diambil kira.

    Penulis berpendapat ada baiknya PAFA mencari pemain lain yang jauh lebih muda dan berkaliber bagi memperkemaskan pasukan untuk menghadapi cabaran di peringkat kelayakan ACL. Ronaldinho sememangnya bintang bola sepak dunia akan tetapi beliau sudahpun memasuki umur 38 tahun dan kali terakhir beraksi bola sepak profesional adalah pada tahun 2015.

    Dengan wang yang bakal dikeluarkan PAFA untuk membawa masuk Ronaldinho, mereka sekurang-kurangnya boleh mendapatkan tiga pemain import yang mempunyai kualiti yang baik. PAFA boleh mendapatkan penyerang yang mampu untuk menjaringkan 20 gol dalam semusim.

    Bagi membantu penyerang tersebut, PAFA boleh mencari seorang perancang yang mempunyai kualiti terbaik dan PAFA juga boleh mencari seorang pemain pertahanan kental bagi mengawal barisan pertahanan pasukan Perak.

    Apa yang pasti, PAFA perlu bersikap lebih realistik dan juga mengkaji segala kemungkinan tentang niat mereka untuk membawa masuk Ronaldinho. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan jika mereka mahu membawa masuk pemain bintang.

    Baca Juga: Persoalannya Nak Ke Ronaldinho Bersama Perak ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.