• Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Safawi Rasid berkata misi pasukan untuk melangkah ke peringkat suku akhir lebih penting berbanding misi peribadi.

    Menurut laporan Berita Harian, Safawi tidak kisah sesiapa sahaja yang menjaringkan gol pada perlawanan menentang Jepun nanti asalkan pasukan negara mara ke peringkat suku akhir.

    “Saya tidak kisah siapa yang meledak jaringan, janji keputusan positif kepada pasukan yang sudah mara sejauh ini,” kata Safawi.

    “Namun sebagai penyerang saya sedar dan perlu melaksanakan tugas iaitu meledak jaringan bagi membantu pasukan serta diri sendiri.”

    Pemain sayap Johor Darul Ta’zim ini menampilkan aksi yang cemerlang apabila menjaringkan empat gol dalam saingan peringkat kumpulan. Paling diingati, dua gol Safawi berjaya membantu pasukan negara menewaskan juara bertahan, Korea Selatan.

    Tambah Safawi, mana-mana pemain yang mementingkan pencapaian individu akan berdepan kesukaran terutamanya apabila menentang pasukan yang berdiri teguh sebagai satu unit.

    “Kita akan mengikut taktikal yang dirancang jurulatih mengenai apa yang perlu dilakukan ketika menyerang dan bertahan.

    “Mana-mana pasukan yang bermain secara individu akan berdepan kesukaran berbanding mereka yang bermain secara berpasukan,” katanya.

    Selain peminat tegar pasukan negara, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada juga mahukan pasukan negara untuk mengutip kemenangan menentang pasukan negara kelahiran beliau.

    “Saya sudah membuat keputusan untuk menyokong pasukan negara sejak kami (Yakult Malaysia) menjadi penaja rasmi bagi pasukan ini,” kata Hamada kepada Harian Metro.

    “Saya yakin pemain kita memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan Jepun pada perlawanan malam esok. Sebagai penaja, impian saya adalah untuk melihat pasukan Malaysia beraksi di Olimpik 2020 di Jepun dan juga layak ke Piala Dunia pada suatu masa nanti.

    “Sepanjang kejohanan Sukan Asia 2018 ini berlangsung, pihak kami menghantar Yakult dari Malaysia untuk diminum oleh pemain negara

    “Hal ini penting untuk memastikan kesihatan usus dan sistem pertahanan badan pemain-pemain berada pada tahap yang terbaik supaya mereka mampu memberikan aksi yang luar biasa di sini,” tambah beliau

    Baca Juga: Syahmi Safari Atau Nik Akif Syahiran ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.