• Pengurus skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Wira Yusoff Mahadi mengakui pasukan negara berdepan cabaran lebih sukar pada pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC yang akan bermula pada Mac tahun depan. Malaysia perlu layak ke pusingan akhir bagi merebut tempat ke Sukan Olimpik 2020.

    “Pasukan lain sudah memandang tinggi pasukan negara, kalau dulu mereka anggap kita pasukan belasahan dan lubuk untuk mendapat mata, tapi sekarang berbeza. Mereka pasti akan lebih serius bila bertemu pasukan negara dan ini akan memberi lebih tekanan kepada kami.

    “Jadi kami kena persiapkan pasukan lebih rapi menjelang pusingan kelayakan Kejohanan AFC itu nanti kerana ia penting untuk ke pusingan akhir (Januari 2020) bagi merebut tempat ke Sukan Olimpik 2020.

    “Lebih separuh daripada pemain yang dipanggil menjalani latihan bersama pasukan sebelum ini masih layak untuk beraksi di pusingan itu meskipun pemain seperti kapten Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik sudah lebih usia,” kata Datuk Yusoff kepada Berita Harian.

    Pasukan bawah 23 tahun negara beraksi dengan cemerlang pada peringkat kumpulan dengan menewaskan Kyrgyztan dan juara bertahan, Korea Selatan.

    Akan tetapi, pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee terpaksa menelan kenyataan pahit apabila tersingkir daripada saingan setelah tewas tipis kepada pasukan Jepun di peringkat 16 pasukan terakhir.

    Selain persiapan rapi, Datuk Yusoff percaya antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah soal pelepasan pemain memandangkan pusingan kelayakan Kejohanan AFC pada Mac depan berlangsung serentak dengan Liga Malaysia musim 2019.

    “Mungkin kami akan ambil pendekatan dengan melakukan rundingan awal dengan pasukan atau kelab. Kami harap akan mendapat kerjasama lebih baik dan masalah pelepasan tidak timbul lagi. Dengan pencapaian skuad muda ini di Sukan Asia, saya percaya semua pihak akan lebih terbuka untuk melepaskan pemain yang dipanggil,” katanya.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan bawah 23 tahun negara untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 yang akan diadakan di Tokyo, Jepun ? Mampukah Malaysia mengecapi kegemlangan beraksi di pentas Sukan Olimpik setelah kali terakhir layak pada edisi 1980 ?

    Baca Juga: 8 Pemain Skuad Bawah 23 Tahun Negara Dipanggil Tan Cheng Hoe

    Leave a comment

    Your email address will not be published.