• 14 pemain yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menyertai kem latihan pusat yang akan bermula 3 September ini masih lagi menjadi bualan hangat para peminat. Di sini, kami mahu membincangkan tentang pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Nazmi Faiz Mansor.

    Nazmi antara pemain yang dikekalkan daripada skuad yang menewaskan Fiji pada perlawanan persahabatan terakhir. Nazmi juga boleh dikategorikan sebagai antara pemain senior dalam pasukan di samping Zaquan Adha, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.

    Selain Nazmi, dalam senarai pemain yang dipanggil Tan Cheng Hoe, bekas ketua jurulatih Kedah ini turut memanggil Nasir Basharudin, Akram Mahinan, Syazwan Zainon, Irfan Zakaria, Nik Akif Syahiran, Mahali Jasuli, dan Syahmi Safari. Nazmi, Nasir dan Nik Akif dilihat pemain yang bakal menjadi perancang bagi pasukan negara.

    Dengan ketiadaan pemain senior yang telah lama mengisi posisi sebagai perancang seperti Safiq Rahmi, ini adalah peluang keemasan bagi Nazmi untuk mengukuhkan lagi kedudukan beliau sebagai maestro utama pasukan negara.

    Nazmi Faiz telah menampilkan aksi yang bertenaga ketika Malaysia menewaskan Bhutan dan Fiji pada dua perlawanan persahabatan terakhir. Jika beliau berjaya mengekalkan momentum, tidak mustahil Tan Cheng Hoe akan terus memberikan kepercayaan kepada Nazmi untuk terus menjadi arkitek kepada barisan serangan negara.

    Apa yang pasti, para pemain sedia ada perlu menampilkan aksi terbaik mereka pada perlawanan menentang Chinese Taipei dan Kemboja nanti bagi memperkuatkan lagi persefahaman diantara pemain menuju ke temasya Piala AFF Suzuki yang akan bermula November ini.

    Penting untuk para pemain memperkemaskan lagi persefahaman diantara mereka dan memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan pasukan berada pada keadaan yang sedia dan mampu untuk memberikan cabaran terutamanya kepada pasukan Vietnam dan Myanmar dalam kumpulan A.

    Apa pendapat anda mengenai peluang Nazmi Faiz Mansor untuk menjadi perancang utama pasukan kebangsaan ? Dengan ketiadaan pemain yang lebih senior, mampukah Nazmi menggalas cabaran sekaligus menampilkan aksi terbaik bagi membantu Malaysia pada temasya Piala AFF Suzuki 2018 ?

    Baca Juga: Farizal Marlias Kembali!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.