• Pasukan Negeri Sembilan akan menentang pasukan UKM FC dalam perlawanan kumpulan A saingan Piala Cabaran 2018. Perlawanan menentang UKM ini merupakan peluang keemasan untuk Negeri Sembilan bangkit setelah tewas pada perlawanan pertama.

    Sebagai satu-satunya pasukan dari saingan Liga Super yang beraksi dalam Piala Cabaran edisi yang pertama ini, Negeri Sembilan sememangnya menjadi pilihan untu muncul sebagai juara. Namun, segalanya bagaikan serba tidak menjadi apabila mereka tewas kepada pasukan Terengganu FC II pada perlawanan pertama.

    Menentang UKM FC malam ini, satu tugas berat menanti anak-anak buah Mario Lemos kerana UKM memulakan siangan Piala Cabaran dengan membelasah pasukan Sarawak 5-1. Penyerang import pasukan, Michael Ijezie menjaringkan kelima-lima gol UKM dalam perlawanan tersebut.

    Kami berpendapat kelibat Ijezie di bahagian serangan UKM FC bakal menghadirkan ancaman kepada kubu pertahanan Negeri Sembilan. Dengan prestasi pemain Negeri Sembilan yang tidak berada dalam keadaan yang baik, ditambah dengan motivasi tinggi yang dimiliki oleh pemain UKM, tidak mustahil UKM bakal meraih kemenangan kedua dan mengukuhkan lagi cengkaman mereka di puncak kumpulan A.

    Penting untuk Negeri Sembilan meraih tiga mata penuh malam ini jika mereka mahu kembali mempunyai peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran edisi sulung ini. Mereka perlu memperbaiki segala kesilapan pada perlawanan pertama dan para pemain perlu memberikan sepenuh tumpuan mereka pada perlawanan malam ini.

    Bagi UKM FC pula, jika mereka berjaya meraih satu lagi kemenangan, mereka akan kekal sebagai pendahulu kumpulan A dan berpeluang cerah untuk mara ke peringkat separuh akhir. Jika Ijezie berjaya mengekalkan momentum cemerlang beliau, UKM mempunyai peluang yang cerah malam ini untuk membawa pulang tiga mata penuh.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan kumpulan A antara Negeri Sembilan menentang UKM FC dalam saingan Piala Cabaran 2018 malam ini ? Mampukah Negeri Sembilan bangkit dan mengutip tiga mata penuh malam ini ?

    Atau UKM FC bakal mengekalkan momentum mereka sekaligus memenangi perlawanan malam ini ?

    Baca Juga: Negeri Sembilan Pasukan Pilihan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.