• Hasrat pasukan bawah 23 tahun negara untuk mencatat kemenangan ketiga pada peringkat kumpulan E Sukan Asia 2018 tidak kesampaian apabila tewas kepada Bahrain semalam. Pemain simpanan yang diturunkan nyata tidak menampilkan aksi seperti yang diharapkan.

    Ketua jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan semalam. Menurut laporan mStar, Datuk Ong mengakui sukar untuk pasukan negara apabila beliau melakukan pertukaran seramai 8 pemain.

    “Saya melakukan lapan pertukaran pemain, jadi amat sukar bagi kita untuk menewaskan Bahrain.

    “Ia bukan keputusan bagus, sudah tentu saya kecewa dengan beberapa pemain yang diberikan peluang untuk bermain tetapi tidak memanfaatkan peluang tersebut dengan baik,” kata beliau.

    “Ia tidak seperti yang kita harapkan. Kita tiada masa jadi setiap pemain harus memperbaiki kelemahan masing-masing. Jadi pemain kena faham apabila mereka berada di sini, mereka perlu bekerja keras,” katanya.

    Apa yang pasti, barisan pemain simpanan perlu segera memperbaiki kelemahan sedia ada kerana penting untuk mereka berada keadaan bersedia bagi menghadapi segala kemungkinan yang boleh berlaku pada perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir nanti.

    Jika pemain utama mengalami kecederaan dan terpaksa untuk dikeluarkan, pemain simpanan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan dan mereka perlu menampilkan aksi terbaik mereka. Jika tidak, mereka bakal menggangu rentak permainan pasukan sekaligus menjejaskan peluang untuk mara lebih jauh.

    Apa yang penting, perlawanan semalam merupakan satu pendedahan yang baik bagi para pemain. Beraksi di pentas tertinggi menentang pasukan yang mempunyai kualiti dan tahap yang berbeza dari pasukan negara merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.

    Kini, pasukan negara perlu mempersiapkan diri untuk menentang pasukan Jepun pada perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir yang dijadualkan Jumaat ini. Walaupun Jepun menghantar pasukan bawah 21 tahun mereka, namun Safawi Rasid dan rakan-rakan tidak boleh mengambil mudah cabaran yang bakal diberikan nanti.

    Apa pendapat anda mengenai prestasi pemain simpanan pasukan negara ketika perlawanan menentang Bahrain semalam ? Mampukah mereka memperbaiki kelemahan sedia ada ?

    Baca Juga: Sukan Asia 2018: Bahrain Berjaya Elak Angin Malaysia!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.