• Ronaldinho bukanlah satu nama asing bagi peminat tegar bola sepak di seluruh dunia. Ada yang menjadikan beliau sebagai idola dan ada juga yang menganggap legenda bola sepak Brazil ini sebagai dewa bola sepak.

    Semalam, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menerusi presiden mereka, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata mereka mahu membawa masuk bekas pemain Barcelona ini bagi memperkuatkan pasukan menjelang kempen kelayakkan Asia Champions League (AFC) musim hadapan.

    Menurut laporan Berita Harian, mana-mana ejen yang mengenali bekas pemenangan Ballon D’Or itu boleh menghubungi beliau.

    “Saya bersedia membuka pintu untuk dia (Ronaldinho) hadir ke sini. Kalau ada ejen yang boleh menghubungkannya dengan pemain itu saya boleh menawarkan tempat dalam pasukan.

    “Kalau dia bersedia untuk berkhidmat secara percuma, apa salahnya kita membuka ruang kepada dia berbakti ke negeri Perak. Kalau ada ejen saya amat alu-alukan,” kata Hasnul.

    Sebelum ini, pemenangan Piala Dunia 2002 ini berminat untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia secara percuma kerana tertarik dengan sambutan yang diberikan peminat di Liga Malaysia.

    Walaupun telah mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak di usia 38 tahun pada Januari lalu, Hasnul percaya Ronaldinho masih lagi mempunyai sesuatu untuk ditampilkan bersama Perak.

    “Faktor umur bukan masalah, lebih-lebih lagi apabila bermain di Asia ini. Dia masih lagi mampu bermain di liga tahap Asia, malah kehadiran dia juga boleh membantu menarik penaja untuk melabur bersama pasukan,” katanya.

    Yang menjadi persoalan ketika ini ialah sama ada khidmat Ronaldinho sangat diperlukan oleh Perak atau mereka patut mencari pemain yang jauh lebih muda bagi membawa cabaran dalam saingan Asia Champions League.

    Drai segi pengalaman, tidak dinafikan Ronaldinho sememangnya kaya dengan pengalaman. Pernah beraksi bersama kelab terbaik dunia dan beraksi di pentas Piala Dunia membuatkan beliau sudah masak dengan asam garam dunia bola sepak.

    Akan tetapi, di usia 38 tahun, kemampuan Ronaldinho untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia sedikit diragui. Sebelum ini, kita menyaksikan Pablo Aimar beraksi bersama Johor Darul Ta’zim pada usia 36 tahun.

    Bekas pemain Valencia ini hanya beraksi beberapa perlawanan sebelum digantikan pada jendela perpindahan pertengahan musim.

    Walau apa pun, terpulang kepada PAFA bagaimana mereka mahu menggunakan pengalaman yang dimiliki oleh Ronaldinho. Sama ada mereka mahu menggunakan beliau sebagai pemain ataupun sebagai staf kejurulatihan.

    Apa pendapat anda mengenai hasrat PAFA yang mahu membawa masuk Ronaldinho bagi memperkuat pasukan menjelang kempen kelayakkan Asia Champions League (ACL) pada musim hadapan ? Mampukah beliau menampilkan aksi terbaik pada usia 38 tahun ?

    Baca Juga: Ada Benarnya Kata-Kata Roberto Carlos

    Leave a comment

    Your email address will not be published.