• Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Safawi Rasid mahu menjadi pemusnah pada perlawanan menentang Jepun malam ini sekaligus membantu Malaysia mara ke peringkat suku akhir temasya Sukan Asia 2018.

    Pemain Johor Darul Ta’zim ini sedang berada dalam prestasi terbaik ketika ini apabila menjaringkan empat gol pada saingan peringkat kumpulan, dua gol daripadanya dijaringkan ketika menewaskan Korea Selatan.

    “Saya gembira dengan aksi yang dipamerkan pada peringkat kumpulan termasuk perlawanan ketiga ketika menentang Bahrain meskipun dimasukkan dalam sebagai pemain gantian.

    “Saya berjaya meledak gol pada perlawanan tersebut dan secara tidak langsung mendapatkan rehat yang cukup untuk memastikan cergas sepenuhnya ketika menentang Jepun,” katanya kepada Utusan.

    Safawi mengakui bahawa Jepun memiliki kelebihan tersendiri namun percaya dalam tempoh 90 minit perlawanan, banyak perkara boleh berlaku.

    “Saya berazam untuk berikan aksi seratus peratus dan berusaha untuk menyudahkan peluang terhidang dengan sebaiknya,” katanya.

    Jika melihat kepada prestasi bekas pemain T-Team ini, tidak mustahil Safawi sekali lagi menjadi pemusnah kepada benteng pertahanan lawan. Empat gol yang dihasilkan sudah cukup untuk membuktikan bahawa Pawi bukanlah calang-calang pemain.

    Jika beliau diberikan sedikit ruang, pemain berusia 22 tahun ini mampu untuk memecahkan benteng pertahanan lawan sekaligus menjaringkan gol. Lihat saja ketika Safawi menjaringkan gol kedua Malaysia ketika menentang pasukan Korea Selatan.

    Selain Safawi, pasukan negara akan mengharapkan seorang lagi pemain lincah, Akhyar Rashid untuk mengkucar-kacirkan pertahanan pasukan lawan malam ini. Sama seperti Safawi, Akhyar ketika ini berada dalam prestasi terbaik beliau.

    Seluruh peminat bola sepak negara mengharapkan trio “SAS” mampu untuk mengekalkan momentum sepertimana ketika Malaysia menewaskan Kyrgyztan dan Korea Selatan bagi mencerahkan peluang untuk pasukan negara mara ke peringkat suku akhir.

    Apa pendapat anda mengenai peluang Safawi Rasid untuk menyinar pada perlawanan menentang pasukan Jepun malam ini ? Mampukah beliau mengekalkan momentum sekaligus membantu pasukan bawah 23 tahun negara menyamai pencapaian pada kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 iaitu layak ke suku akhir ?

    Baca Juga: Kecergasan Pemain Perlu Di Tahap Maksimum

    Leave a comment

    Your email address will not be published.