• Ketua jurulatih pasukan Felda United, B.Sathianathan mempertahankan keputusan Datuk Ong Kim Swee yang menurunkan barisan kedua pada perlawanan menentang Bahrain dengan menyatakan beliau akan melakukan perkara sama beliau berada di posisi Datuk Ong.

    Menurut laporan Berita Harian, Sathia berpendapat tindakan Datuk Ong ialah satu langkah yang wajar bagi memastikan pemain utama dapat memberikan yang terbaik pada aksi pusingan 16 terbaik bertemu Jepun, Jumaat ini.

    “Tiada gunanya kita menyasarkan kemenangan bersih di peringkat kumpulan tetapi pemain utama kita terjejas untuk aksi peringkat 16 terbaik kerana tidak mendapat rehat secukupnya ataupun mengalami kecederaan.

    “Saya lihat Kim Swee mengambil pendekatan yang bijak dengan menyenaraikan barisan kedua kerana dia mahu mencari pemain gantian yang memiliki kaliber yang sama dengan pemain utama jika terjadinya perkara yang tidak diingini.

    “Malah, dengan barisan kejurulatihan Jepun dikatakan turut menyaksikan perlawanan itu, sudah tentu kekuatan penuh Malaysia dapat ‘disembunyikan’ sebelum aksi sebenar nanti. Kalau saya berada di tempat Datuk Ong Kim Swee, saya juga akan melakukan perkara sama,” katanya ketika dihubungi.

    Pada perlawanan menentang Bahrain, barisan pemain yang diturunkan gagal untuk menampilkan aksi terbaik dan perkara ini membuatkan Datuk Ong kecewa kerana pemain gagal memanfaatkan peluang setelah pemain simpanan diturunkan dalam kesebelasan utama.

    Pada perlawanan berkenaan, Malaysia terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Syahmi Safari pada minit ke-20 tetapi Bahrain menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi Mohamed Hardan (m-33) sebelum mendahului permainan empat minit kemudian berpunca jaringan Hamad Alshamsan.

    Sekalipun Malaysia cuba mencipta kebangkitan, Hardan menjadikan kedudukan 3-1 buat Bahrain sebelum Safawi Rasid merapatkan jurang pada minit ke-90 tetapi ia sudah terlambat.

    Malaysia dijadual menentang Jepun pada pusingan kedua Jumaat ini dan sekiranya mereka melepasi halangan itu, mereka akan bertemu sama ada China atau Arab Saudi di peringkat suku akhir.

    Baca Juga: Pemain Simpanan Perlu Perbaiki Prestasi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.