• Penyerang pasukan bawah 23 tahun negara, Safawi Rasid menjelaskan beliau memanfaatkan ilmu yang diperoleh ketika bersama Johor Darul Ta’zim bagi membantu pasukan negara dalam temasya Sukan Asia 2018.

    Ketika dihubungi mStar online, Safawi menjelaskan tiada apa-apa rahsia di atas kecemerlangan beliau dan semuanya berkat ilmu yang diperoleh di Johor.

    “Alhamdullilah, prestasi karier saya setakat ini berada dalam keadaan baik dan dipermudahkan. Itu rezeki saya.

    “Secara jujurnya, saya tidak ada apa-apa rahsia untuk beraksi dengan baik. Saya akui banyak belajar di Johor.

    “Apa yang JDT ajar, saya akan gunakan ketika bersama skuad negara. Tambahan pula, rakan-rakan pasukan sentiasa membantu antara satu sama lain. Dan yang penting ikut arahan ketua jurulatih,” ujar beliau.

    Safawi juga bersyukur dan teruja apabila dapat membantu pasukan negara mencatatkan keputusan positif.

    ” Dalam bola sepak, ada turun naiknya. Jadi saya akan kekal fokus dan akan membuat kajian dengan menonton video perlawanan sebelum perlawanan.

    “Selepas dua aksi peringkat kumpulan ini, saya secara peribadi ingin membantu pasukan negara layak ke separuh akhir Sukan Asia.

    “Dengan itu ia membolehkan ‘market’ kami menjadi lebih baik,” katanya.

    Safawi Rasid menjadi wira negara apabila bekas pemain T-Team ini menjaringkan dua gol ketika pasukan negara menewaskan juara bertahan, Korea Selatan dengan keputusan 2-1 pada Jumaat lalu.

    Dengan kemenangan ke atas Korea, pasukan bawah 23 tahun negara telah mengesahkan tempat di pusingan 16 pasukan terakhir dan pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee ini mempunyai peluang untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan E sebagai juara kumpulan jika berjaya menewaskan Bahrain esok.

    Kecemerlangan Safawi beserta dua lagi rakan di bahagian serangan, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad bakal menjadi sandaran utama negara ketika perlawanan menentang Bahrain.

    Dua pasukan teratas bagi setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

    Apa pendapat anda mengenai kecemerlangan Safawi Rasid bersama pasukan bawah 23 tahun negara pada temasya Sukan Asia 2018? Mampukah beliau mengekalkan momentum sekaligus membantu pasukan negara mara sejauh mungkin dalam temasya kali ini?

    Baca Juga: Barisan Pertahanan Negara Wajar Diberikan Pujian

    Leave a comment

    Your email address will not be published.