• Pasukan pilihan Selangor berjaya merampas semula trofi Piala Sultan Selangor apabila berjaya menewaskan pasukan pilihan Singapura menerusi penentuan sepakan penalti sebentar tadi.

    Setelah terikat 1-1 pada 90 minit permainan, pemenang edisi kali ini terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

    Pemain sayap PKNS FC, Faris Ramli muncul wira Red Giants apabila menyempurnakan sepakan terakhir selepas Mohd Irfan Najeed gagal menyudahkan sepakan ketiga Singapura.

    Pada perlawanan sebentar tadi, Selangor dikejutkan dengan jaringan pembukaan Singapura seawal minit kelapan hasil percubaan jarak dekat Shuhei Hoshino selepas pertahanan Selangor gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

    Akan tetapi, pilihan Selangor tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila penjaring terbanyak Liga Super musim 2018, Rufino Segovia berjaya menjaringkan gol penyamaan. Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan.

    Memasuki separuh masa kedua, pilihan Selangor mempunyai peluang untuk berada di hadapan namun percubaan Romel Morales berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Singapura, Zaiful Nizam Abdullah.

    Kedudukan 1-1 bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

    Selain pasukan pilihan Selangor yang berjaya mengutip kemenangan, skuad veteran Selangor yang dibarisi oleh pemain seperti P.Maniam sebelumnya berjaya menundukkan veteran Singapura 3-2, juga menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.

    Pada aksi sebelah petang, skuad bawah 16 (B-16) tahun Selangor turut merangkul Piala Cabaran Sekolah Selangor-Singapura selepas menundukkan skuad B-16 Singapura 2-0.

    Kejayaan pasukan pilihan Selangor merampas semula trofi Piala Sultan Selangor edisi kali ini merupakan perkara yang ditunggu-tunggu oleh peminat kerana sudah dua edisi Singapura berjaya memenangi trofi tersebut.

    Tiga pemain Selangor yang dibawa masuk bagi memperkukuhkan pasukan iaitu Rufino Segovia, Amri Yahyah dan Razman Roslan nyata memberikan sedikit kelebihan bagi pilihan Selangor pada perlawanan sebentar tadi. Kelibat Rufino di bahagian serangan sememangnya memberikan ancaman kepada benteng pertahanan lawan.

    Baca Juga: Otai Selangor Sedia Berikan Aksi Terbaik

    Leave a comment

    Your email address will not be published.