• Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor akan memulakan saingan edisi 2018 dengan menentang pasukan PKNP FC di stadium keramat mereka iaitu Stadium Shah Alam malam ini. Selangor perlu mewaspadai cabaran yang bakal diberikan oleh pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim ini.

    Pasukan bimbingan Nazliazmi Nasir mahu kembali bangkit setelah mereka menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan yang sedikit mengecewakan iaitu di kedudukan kelapan. Akan tetapi, Selangor akan turun tanpa tiga tonggak yang mewakili negara masing-masing dalam temasya Sukan Asia 2018.

    Tiga tonggak yang dimaksudkan ialah Syahmi Safari, Ilham Udin Armayn dan Evan Dimas Darmono yang akan mewakili pasukan bawah 23 tahun Malaysia dan Indonesia. Tiga tonggak ini sebelumnya menjadi nadi utama pasukan Selangor dalam mencipta kemenangan dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.

    Kami berpendapat tempat yang ditinggalkan oleh tiga tonggak akan diisi oleh pemain senior seperti Amri Yahyah, Saiful Ridzuwan dan Abdul Halim Zainal. Nazliazmi juga perlu membuat sedikit perubahan dalam corak permainan beliau bagi memastikan pemain dapat menjalankan tugas dengan baik.

    Bagi PKNP FC pula, mereka sekali lagi digelar “underdog” dalam saingan kali ini. Harus diingat, PKNP mampu untuk mencipta kejutan kerana sebelum ini pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala FA.

    Bagi merosakkan kepulangan pasukan Selangor ke Stadium Shah Alam malam ini, PKNP sudah pasti akan bergantung kepada pemain muda mereka untuk menggempur benteng pertahanan Selangor. PKNP pernah mengecewakan Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu di Cheras dalam saingan Liga Super.

    Apa yang pasti, kedua-dua pasukan mahu memulakan saingan Piala Malaysia kali ini dengan mengutip tiga mata penuh. Selangor perlu mewaspadai cabaran yang bakal diberikan oleh PKNP malam ini jika mahu memulakan misi 34 mereka dengan langkah kanan.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Selangor menentang pasukan PKNP FC di Stadium Shah Alam malam ini? Mampukah PKNP FC mencipta satu lagi kejutan dengan menewaskan pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia ini?

    Baca Juga: Ketiadaan Tiga Tonggak Boleh Rencatkan Selangor

    Leave a comment

    Your email address will not be published.