• Pasukan bawah 23 tahun negara memulakan acara bola sepak Sukan Asia 2018 dengan langkah kanan apabila membenam pasukan Kyrgyztan dengan keputusan 3-1 sebentar tadi. Barisan serangan negara memainkan peranan penting dalam kemenangan pasukan negara.

    Pasukan negara memulakan perlawanan dengan sedikit perlahan apabila para pemain dilihat mencari rentak untuk menyesuaikan diri pada 10 minit pertama perlawanan. Para pemain kemudiannya mula melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawanan namun menyia-nyiakan peluang terhidang.

    Pada minit ke-36, Safawi Rasid membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti setelah pemain sayap, Akhyar Rashid dijatuhkan oleh pemain pertahanan Kyrgyztan. Wisel separuh masa pertama dibunyikan dengan Malaysia berada di hadapan.

    Memasuki separuh masa kedua, pemain negara mengendurkan sedikit asakan dan pasukan lawan kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi tandukan Ernist Batyrkanov. Ernist melepasi kawalan Irfan Zakaria untuk menanduk masuk bola hantaran daripada sebelah sayap.

    Tersentak dengan jaringan penyamaan lawan, pemain negara kemudiannya mengadakan asakan ke kubu pertahanan lawan dan usaha mereka berhasil apabila Akhyar Rashid merembat deras berpunca daripada gerakan serangan balas dari sebelah kanan.

    Pada minit ke-79, Syafiq Ahmad menjaringkan gol ketiga negara dan memastikan pasukan bawah 23 tahun negara memulakan saingan dengan langkah kanan.

    Kami berpendappat barisan serangan negara menampilkan aksi yang cukup bertenaga apabila larian dari sebelah sayap kerap kali memberikan ancaman kepada kubu pertahanan lawan. Kelincahan Akhyar dan Safawi sememangnya membuatkan tugas pertahanan Kyrgyztan untuk mengawal mereka menjadi sukar.

    Meskipun meraih kemenangan, ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh Datuk Ong Kim Swee menjelang perlawanan menentang Korea Selatan pada Jumaat ini. Bahagian tengah memberikan sokongan yang baik ketika gerakan serangan namun gagal untuk berbuat demikian ketika pasukan dalam mod bertahan.

    Apa yang pasti, kemenangan ke atas Kyrgyztan ini menjadi pembakar semangat sebelum pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee bertemu dengan juara bertahan, Korea Selatan pada Jumaat ini. Ujian yang bakal dihadapi sudah semestinya lebih besar dan lebih sukar.

    Baca Juga: Sukan Asia Platform Terbaik Raih Perhatian

    Leave a comment

    Your email address will not be published.