• Pasukan Malaysia bawah 23 tahun mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan juara bertahan, Korea Selatan dengan keputusan 2-1 sebentar tadi. Safawi Rasid menjadi wira pasukan negara apabila beliau berjaya menjaringkan dua gol.

    Pasukan bawah 23 tahun negara bermula cemerlang apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-5 setelah penjaga gol Korea, Song Bum-keun gagal untuk menangkap bola dengan kemas dan Safawi Rasid berjaya mencuri bola tersebut sekaligus menjaringkan gol pertama negara.

    Tersentak dengan jaringan Safawi, Korea Selatan menggandakan usaha mereka apabila melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan negara. Namun, Haziq Nadzli dan benteng pertahanan negara mempamerkan aksi cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan barisan serangan Korea.

    Sedang pasukan negara berkira-kira akan menamatkan separuh masa pertama dengan hanya satu gol, Safawi bijak menyempurnakan hantaran Safiq Ahmad dan kemudiannya melepaskan satu rembatan “outside foot” bagi menewaskan penjaga gol Korea. Separuh masa pertama tamat dengan pasukan negara berada di hadapan.

    Memasuki separuh masa kedua, Korea memasukkan pemain bintang mereka, Son Heung-min bagi menggandakan ancaman di bahagian serangan Korea. Kehadiran Son nyata menguji kekentalan benteng pertahanan negara apabila barisan serangan Korea terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan pasukan negara.

    Akan tetapi, pemain negara tetap teguh bertahan dan mereka acap kali mengecewakan barisan serangan Korea apabila pemain negara berjaya mengeluarkan bola dan menafikan percubaan yang dilakukan.

    Meskipun Korea berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-86 menerusi Hwang Ui-jo, namun pemain negara berjaya mempertahankan kedudukan sekaligus memberikan kemenangan kedua bagi Malaysia.

    Dengan kemenangan ke atas Korea, pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee telah mengesahkan tempat mereka di peringkat 16 pasukan terakhir dengan mengutip enam mata dari dua perlawanan. Malaysia ketika ini mengungguli kumpulan E dengan kelebihan tiga mata ke atas pasukan Korea Selatan.

    Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan bawah 23 tahun negara ke atas juara bertahan, Korea Selatan pada perlawanan sebentar tadi? Mampukah anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengekalkan momentum menjelang perlawanan terakhir menentang Bahrain?

    Baca Juga: Kecemerlangan “SAS” Sekali Lagi Ditagih Oleh Pasukan Negara

    Leave a comment

    Your email address will not be published.