Sumber Gambar: FAM

Skuad bawah 16 tahun negara sudah tidak sabar untuk memulakan saingan AFC Bawah 16 Tahun bagi memburu slot ke temasya Piala Dunia Remaja di Peru tahun hadapan.

Perkara itu disuarakan oleh ketua pasukan, Muhammad Hariz Mansor yang berkata persiapan selama empat tahun akan digunakan sebaik mungkin untuk mencapai keputusan terbaik.

“Tidak sabar nak main kerana kami sudah buat persediaan selama empat tahun. Kami pasti akan beri apa yang kita ada dan tidak mengambil mudah terhadap mana-mana perlawanan. Kita lebih bersemangat apabila menjadi tuan rumah kerana keluarga dan rakan-rakan akan hadir memberi sokongan.

“Bagi saya, pasukan yang perlu diawasi ialah Jepun kerana kami tahu corak taktik dan teknikal mereka. Bagaimanapun, ketua jurulatih (Lim Teong Kim) telah memberi penerangan dan kami akan beri yang terbaik,” katanya kepada Kosmo.

Pasukan bimbingan Lim Teong Kim ini diundi dalam kumpulan A bersama pasukan Tajikistan, Thailand dan Jepun.

Tambah Hariz, meskipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat suku akhir, namun beliau percaya pasukan bawah 16 tahun negara mampu untuk mencipta kejutan dengan mengikuti jejak langkah abang mereka iaitu pasukan bawah 19 dan 23 tahun yang mencipta kejutan dalam kejohanan besar sebelum ini.

“Kita ada strategi dan kami akan cari gol awal selain mempamerkan semangat juang tinggi sehingga ke wisel penamat. Kekuatan fizikal lawan tidak jadi masalah kerana fizikal kita juga baik,” katanya.

Pasukan bawah 16 tahun negara akan turun menentang pasukan Tajikistan pada perlawanan pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari ini diikuti dengan perlawanan menentang Thailand pada 23 September dan Jepun 26 September.

Ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan melibatkan pasukan negara akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4.30 petang.

Apa yang pasti, pemain negara perlu menampilkan aksi terbaik mereka bagi memastikan Malaysia berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pertama hari ini.

Baca Juga: Tiga Mata Sasaran LTK Ketika Berdepan Tajikistan

Leave a Reply