Sumber Gambar: The Star

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan peruntukan yang dijanjikan oleh pemerintah terdahulu kepada National Football Development Program (NFDP) yang pada mulanya berjumlah RM 20 Juta kemudiannya berkurang kepada RM 3.5 Juta.

Kata Syed Saddiq, NFDP hanya diperuntukkan RM10 juta ketika penubuhannya pada 2014 dan jumlah tersebut berkurangan kepada RM3.5 juta pada tahun-tahun berikutnya. Dikhabarkan 80 peratus pembayaran gaji mulanya ditanggung oleh sebuah syarikat swasta.

“Ada penajaan sebuah syarikat besar yang membayar 80 peratus gaji program ini tetapi telah diberhentikan dua tahun lalu.

“Akibatnya kerajaan terpaksa menampung ketiadaannya sehingga peruntukan kepada sukan-sukan lain terpaksa dikecilkan,” katanya kepada Utusan.

Syed Saddiq menambah, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menambah baik NFDP yang tetap dianggap­nya positif namun kosnya perlu distrukturkan semula setelah khidmat Teong Kim ditamatkan serta-merta Khamis lalu.

Selain peruntukan yang diperoleh NFDP dipersoalkan oleh peminat bola sepak Malaysia, gaji yang diterima oleh Lim Teong Kim turut dipertikaikan kerana dianggap beliau patut mencapai sasaran yang ditetapkan dengan gaji bulanan yang diterima.

Selain itu, Syed Saddiq turut meminta bantuan beberapa pihak bagi meningkatkan lagi mutu program NFDP dan akan mengadakan perjumpaan dengan peminat tegar bola sepak Malaysia.

“Ini masalah yang harus kita beri perhatian. Sebaik memegang jawatan selaku menteri saya berjumpa beberapa pihak, merayu agar membantu program NFDP.”

“Pengikut bola sepak ini sangat penting, itulah sebab utama mengapa bola sepak masih lagi bertahan, kerana dengan adanya mereka. Sesi dialog ini akan dihadiri wakil dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN), NFDP dan pihak KBS iaitu saya sendiri.

“Saya mahu tanya pandangan mereka (peminat tegar) dan dalam masa sama memberi penerangan bagaimana situasi sekarang untuk kita terus maju ke depan,” katanya kepada Harian Metro.

Apa yang pasti, segala perubahan yang bakal dilakukan nanti diharapkan dapat memajukan lagi program NFDP bagi memastikan mereka terus melahirkan pemain akar umbi yang berkualiti tinggi dan mampu untuk membantu skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Baca Juga: Program NFDP Dikira Gagal Sekiranya….

Leave a Reply