Sumber Gambar: Football Tribe

Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali mahu khidmat Lim Teong Kim bersama National Football Development Program (NFDP) ditamatkan setelah kegagalan skuad bawah 16 tahun negara mencapai sasaran mara ke Piala Dunia Remaja tahun hadapan.

Khalid meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menamatkan khidmat bekas pengendali pasukan remaja Bayern Munich ini.

“Beliau mesti bertanggungjawab, Menteri Belia dan Sukan perlu menamatkan khidmatnya, ia tindakan yang baik.

“Saya melihat satu kesilapan apabila KBS membayar gaji yang begitu tinggi (RM175,000 sebulan). Mungkin pendapatan beliau di Jerman lebih banyak namun seharusnya kita mengukur diri sendiri terlebih dulu.

“Ia jumlah yang tidak patut kerana sepanjang tiga atau empat tahun ini, tiada keputusan yang baik dihasilkan,” katanya kepada Berita Harian.

Selain Khalid Ali, seorang lagi bekas pemain negara, Datuk Shukor Salleh yang mempunyai pendapat yang sama dengan Khalid.

“Seharusnya beliau berundur. Beliau perlu menerima hakikat selain menjaga pembangunan, aspek lain perlu dilihat seperti kemajuan dan pencapaian.

“Matlamat adalah mara ke Piala Dunia namun peringkat suku akhir pun tidak dicapai,” kata Datuk Shukor.

Setelah gagal membawa skuad bawah 16 tahun negara mara ke Piala Dunia Remaja tahun hadapan, Teong Kim serta-merta dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada jawatan ketua jurulatih pasukan bawah 16 tahun negara.

Akan tetapi, nasib beliau bersama NFDP masih lagi belum diketahui dan ramai yang mahukan agar Teong Kim dikekalkan sebagai individu yang menerajui NFDP kerana segala usaha beliau sejak 2014 telah berjaya melahirkan pemain akar umbi yang mempunyai kualiti tinggi.

Menyentuh soal masa depan NFDP sendiri, Syed Saddiq telah memberikan jaminan bahawa program tersebut tidak akan dibubarkan dan hanya akan ditambah baik dari pelbagai segi terutamanya dari segi kewangan.

Apa pendapat anda mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalid Ali dan Datuk Shukor Saleh yang mahukan khidmat Lim Teong Kim bersama NFDP ditamatkan? Adakah anda bersetuju dengan dua legenda ini?

Baca Juga: Syed Saddiq Persoal Peruntukan NFDP

Leave a Reply