• Pasukan dari saingan Liga Perdana, Sabah berjaya mengejutkan ramai pihak apabila mereka beraksi dengan cemerlang dalam saingan Piala Malaysia edisi 2018.

    Pasukan yang digelar sebagai The Rhinos ini mara ke peringkat suku akhir selaku juara kumpulan D dengan mengetepikan cabaran daripada 3 pasukan Liga Super iaitu juara 33 kali Selangor, juara edisi 2014, pasukan Pahang dan PKNP FC.

    Arkitek di sebalik kecemerlangan Sabah dalam saingan Piala Malaysia sudah pasti ketua jurulatih mereka, Jelius Ating. Jelius menerapkan corak permainan berasaskan serangan balas sepanjang musim ini dan percaturan tersebut berjaya membuahkan hasil.

    Sabah berjaya menewaskan Selangor di kandang lawan dan kandang sendiri serta membuatkan pasukan Pahang berdepan kesukaran sewaktu menentang mereka. Sebagai tambahan, Sang Badak belum lagi tewas dalam perlawanan peringkat kumpulan setakat ini.

    Selain jurulatih, beberapa pemain menjadi nadi utama pasukan dalam kempen Piala Malaysia kali ini. Di bahagian pertahanan, Sabah mempunyai Rawilson Batuil yang beraksi dengan baik. Di bahagian tengah pula, Azzizan Osman mempamerkan prestasi yang cemerlang dan beliau baru-baru ini dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menyertai kem latihan pusat pasukan negara.

    Di bahagian serangan, ada Rodoljub Paunovic dan Hector Ramos yang membentuk satu gandingan mantap dimana kedua-dua penyerang ini berjaya menjaringkan gol dalam saingan Piala Malaysia.

    Apa yang pasti, jika Sabah mampu untuk mengekalkan rentak cemerlang mereka, tidak mustahil pasukan bimbingan Jelius Ating ini mampu untuk melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak edisi 2002 dimana mereka ketika itu tewas kepada Selangor menerusi “Golden Goal” Amri Yahyah.

    Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Sang Badak akan menerima kunjungan Pahang di Likas dan mereka berpeluang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Peringkat kumpulan.

    Apa pendapat anda mengenai prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh pasukan Sabah dalam saingan Piala Malaysia edisi 2018 ? Mampukah pasukan bimbingan Jelius Ating ini mengekalkan momentum seterusnya memenangi kejuaraan yang pertama setelah tewas dalam tiga perlawanan akhir sebelum ini ?

    Baca Juga: Pasukan Liga Perdana Mampu Cipta Kejutan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.