• Setelah perjalanan pasukan Selangor dalam saingan Piala Malaysia edisi 2018 tamat, kini tumpuan peminat terarah kepada masa depan pemain terutamanya penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia. Adakah Rufino akan kekal bersama Selangor musim hadapan ?

    Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, Rufino berjaya menjaringkan sebanyak 30 gol dalam semua pertandingan. Penyerang berusia 33 tahun ini menjaringkan 19 gol dalam saingan Liga Super, 9 gol dalam saingan Piala FA dan 2 gol dalam saingan Piala Malaysia.

    Kecemerlangan pemain dari Sepanyol ini berjaya memastikan Selangor kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan dan Gergasi Merah mara ke perlawanan akhir Piala FA 2018 sebelum tewas kepada pasukan Pahang.

    Masa depan Rufino menjadi tanda tanya selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyatakan kesediaan mereka untuk melakukan rombakan secara keseluruhan. Ini bermaksud, bukan sahaja badan tersebut yang bakal dirombak malah barisan pemain dan juga kejurulatihan akan mengalami perkara sama.

    Jika melihat daripada segi prestasi dan juga persembahan Rufino sepanjang musim 2018, beliau sememangnya wajar dikekalkan kerana sudah serasi dengan pasukan Selangor. Tambahan pula, sebelum ketibaan Rufino, Selangor sedikit bergelut untuk mencari penyerang yang berbisa setelah kali terakhir mereka mempunyai Paulo Rangel di bahagian serangan pada musim 2014.

    Namun, jika FAS memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Rufino bagi saingan musim hadapan, maka mereka perlu bekerja keras bagi mencari pengganti yang setaraf dengan kemampuan dan kualiti yang dimiliki oleh Rufino.

    Penting untuk FAS mencari pemain yang mampunyai kualiti tinggi bagi membawa cabaran pasukan musim hadapan kerana pasukan Selangor sudah lama “tidur” dan mereka perlu bangun dari tidur panjang tersebut bagi mencabar pasukan-pasukan besar dalam saingan Liga Super musim hadapan. Tambahan pula, pengurusan baru Selangor juga perlu membuktikan bahawa mereka mampu untuk membawa Selangor ke peringkat yang lebih tinggi.

    Apa pendapat anda mengenai masa depan Rufino Segovia bersama Selangor ? Adakah beliau wajar dikekalkan pada saingan musim hadapan ? Atau Selangor perlu mencari penyerang import lain ?

    Baca Juga: Rufino Segovia Lebarkan Jumlah Jaringan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.