• Khabar kurang gembira datang daripada pasukan Felda United apabila mereka kehilangan beberapa pemain tonggak untuk aksi menentang pasukan Terengganu FC pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2018 hari ini di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

    Dikhabarkan penyerang import sekaligus penjaring terbanyak pasukan dalam saingan Piala Malaysia edisi kali ini, Thiago Augusto Fernandes serta dua lagi pemain iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor dan Hadin Azman masih dibelenggu masalah kecederaan.

    Ketua jurulatih pasukan, B.Sathianathan mengakui pasukan bimbingan beliau akan berdepan tugas sukar pada perlawanan hari ini walaupun beraksi di laman sendiri.

    “Perlawanan esok memang sukar, kami turun tanpa beberapa tonggak yang mana Thiago dan Wan Zack antara penjaring terbanyak pasukan.

    “Malah, kami akan jumpa pasukan gergasi Liga Super (TFC) yang berada pada prestasi terbaik selain menjadi antara pasukan yang paling banyak meledak gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

    “Jadi kami berdepan tekanan kerana persembahan TFC ketika ini amat baik dan memiliki jurulatih berpengalaman,” katanya kepada Berita Harian.

    Felda United mara ke peringkat suku akhir selepas mereka muncul sebagai naib juara kumpulan B selepas mengumpul 10 mata dalam enam perlawanan manakala lawan mereka, Terengganu FC muncul sebagai juara kumpulan A juga mengumpul 10 mata daripada enam perlawanan.

    Dengan ketiadaan pemain tonggak, B.Sathianathan mahukan barisan pertahanan pasukan beliau untuk menampilkan persembahan terbaik bagi mengelak Terengganu FC mendapatkan jaringan di tempat lawan.

    “Kalau kami bolos satu gol saja pasti akan membawa padah kerana mereka ada kelebihan. Fokus utama kami mengelak daripada dibolosi.

    “Kami perlu memberi tumpuan kepada tiga pemain mereka, Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Ashari Samsudin yang menjadi antara penjaring terbanyak mereka dalam Piala Malaysia,” katanya.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara Felda United menentang Terengganu FC malam ini ? Mampukah pasukan bimbingan B.Sathianathan memanfaatkan aksi di laman sendiri sekaligus memperoleh kelebihan pada perlawanan suku akhir pertama ?

    Baca Juga: Terengganu FC Mahu Kejutkan Felda Di Laman Sendiri

    Leave a comment

    Your email address will not be published.