• Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC, Irfan Bakti memberikan pujian kepada anak-anak buah beliau setelah berjaya mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia edisi kali ini.

    Irfan turut mengakui kekuatan mental anak buahnya menjadi pencetus kepada kebangkitan setelah pada awalnya ketinggalan 0-2 hingga awal babak kedua sebelum menang 4-3 sekali gus layak 6-4 secara agregat.

    “Satu kebangkitan yang begitu dramatik biarpun pada awalnya ketinggalan dengan dua jaringan pantas pasukan lawan pada setiap babak selain diasak dari segenap penjuru gol.

    “Apa yang boleh saya katakan mental pemain malam ini begitu kuat untuk bangkit memadam kelebihan itu dan saya puji sikap pemain yang tidak berputus asa hinggalah berjaya layak ke separuh akhir,” kata Irfan kepada Berita Harian.

    Namun, Irfan tidak menyangka anak-anak buah beliau beraksi di bawah tahap sebenar pada separuh masa pertama walaupun mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri.

    “Babak pertama kami banyak hilang bola walaupun pemain FELDA United turun ke bawah tapi pemain kami tidak berani pegang bola dan minta bola menyebabkan pergerakan terputus dan lawan menunggu peluang itu untuk menghasilkan jaringan.

    “Pemain tidak tertekan pada babak pertama tapi mereka gagal mempamerkan aksi seperti biasa, namun kemasukan Malik dan Faiz Nasir pada separuh masa kedua mengubah corak permainan,” tambah Irfan Bakti.

    Pada perlawanan semalam, pemain kelahiran England, Lee Tuck, Adib Aizuddin Latif, Malik Mat Ariff dan kapten Kipre Tchetche masing-masing meledak satu gol buat TFC manakala jaringan The Fighters dihasilkan Thiago Junio, Syamim Yahya dan Gilberto Fortunato.

    Kejayaan mara ke peringkat separuh akhir menghidupkan kembali peluang Terengganu FC untuk sekurang-kurangnya memenangi satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

    Apa yang penting, mereka perlu mengekalkan momentum kemenangan ini kerana cabaran yang bakal dihadapi pada perlawanan separuh akhir sudah pasti jauh lebih sukar berbanding sebelumnya.

    Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Terengganu FC ke atas Felda United semalam? Mampukah mereka mengekalkan momentum cemerlang menuju ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2018?

    Baca Juga: Sathia Serah Nasib Kepada Pihak Pengurusan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.