• Penjaga gol skuad Bawah 16 tahun negara, Abdul Alim Al-Amri Ali menggesa rakan sepasukan untuk tidak memberikan gol mudah pada pasukan lawan serta mengurangkan kesilapan di dalam mahupun di luar kotak penalti pasukan negara.

    Alim berkata demikian setelah menyaksikan skuad bawah 16 tahun negara memberikan dua gol mudah kepada pasukan Tajikistan pada perlawanan pembukaan kumpulan A Khamis lalu.

    “Rakan sepasukan perlu mengelak daripada melakukan kekasaran di dalam kotak dan juga di luar kotak penalti yang mana ia akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

    “Kadang-kala kesilapan sebegini seperti memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan akan memberi kesan kepada pasukan dan mampu menjejaskan peluang meraih kemenangan,” katanya kepada Berita Harian.

    Abdul Alim akan menggantikan penjaga gol utama, Sikh Izhan Nazrel pada perlawanan menentang pasukan Thailand dan juga Jepun kerana Izhan dilayangkan kad merah pada perlawanan menentang Tajikistan setelah mengasari pemain lawan.

    Ditanya mengenai persediaan beliau, Alim mengatakan bahawa beliau sedikit sebanyak tahu mengenai kekuatan pasukan Thailand kerana telah berhadapan dengan mereka sebelum ini.

    “Saya pernah beraksi bertemu pasukan Thailand pada Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 sebelum ini, jadi saya tahu serba sedikit mengenai kekuatan pasukan lawan.

    “Meskipun ini saingan AFC yang jauh berbeza dengan AFF, saya melihat situasi bertemu Thailand tidak jauh bezanya.

    “Apapun, saya akan berusaha memberikan yang terbaik dalam menggalas tugas selaku benteng terakhir pasukan negara,” katanya.

    Skuad bawah 16 tahun negara akan meneruskan misi memburu tiga mata bertemu jaguh Asia Tenggara itu pada Ahad ini dengan tiga mata akan membolehkan Malaysia mara secara automatik ke peringkat suku akhir.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan bimbingan Lim Teong Kim pada perlawanan menentang pasukan Thailand pada Ahad ini? Mampukah mereka mengutip tiga mata penuh sekaligus mara ke peringkat suku akhir dengan lebih awal?

    Baca Juga: Lim Teong Kim Tidak Gusar Dengan Kehilangan Sikh Izhan Nazrel

    Leave a comment

    Your email address will not be published.