• Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) memberikan jaminan bahawa mereka akan segera menyelesaikan tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan.

    Menurunkan Presiden Musa, Adly Zahari, beliau kini sedang mencari mekanisme terbaik berhubung penggajian pasukan tersebut yang terjejas dari bulan Mei hingga Julai lalu.

    “Hari ini kita adakan satu mesyuarat khas bersama peringkat tertinggi Musa. Pengurusan Musa juga akan cuba mencari penyelesaian berhubung isu ini.

    “Saya juga mengarahkan Musa melakukan audit keseluruhan dan kita akan lihat kelemahan kita kerana jika tiada penyelesaian jangka masa panjang isu ini akan berulang lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan mengenai tunggakan gaji pemain Melaka United yang dikatakan tertangguh sehingga dua bulan dengan gaji yang sepatutnya diterima pada Mei lalu hanya dibayar pada pertengahan Julai.

    Isu tunggakan gaji ini juga telah menyebabkan pasukan Melaka gagal untuk memberikan saingan kepada Felda United dan PKNS FC dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia edisi 2018.

    Setelah lima perlawanan, Melaka hanya mampu mengutip enam mata dimana mereka mengutip satu kemenangan, tiga keputusan seri dan tewas sekali. Selain itu, pasukan bimbingan E.Elavarasan ini juga terlepas peluang untuk melangkah ke peringkat suku akhir setelah menduduki tangga ketiga dalam kumpulan B. Felda dan PKNS melangkah ke peringkat seterusnya.

    Apa yang pasti, MUSA perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi memastikan isu tunggakan gaji ini tidak berpanjangan. Jika pemain sudah menerima gaji, mereka boleh menumpukan sepenuh perhatian pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Felda United.

    Selain itu, Melaka United boleh memulakan persiapan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan dengan pemain yang berada pada prestasi terbaik dan tidak diganggu oleh permasalahan gaji.

    Apa pendapat anda mengenai isu tunggakan gaji yang melanda pasukan Melaka United ketika ini? Mampukah MUSA menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi sekaligus menamatkan saingan Piala Malaysia edisi 2018 dengan kemenangan ke atas pasukan Felda United?

    Baca Juga: Pemain Sarawak Empat Bulan Tidak Dibayar Gaji

    Leave a comment

    Your email address will not be published.