• Penyerang skuad Bawah 16 tahun negara (B-16), Luqman Hakim Shamsudin menyasarkan kasut emas pada temasya AFC Bawah 16 Tahun edisi kali ini.

    Empat jaringan yang dijaringkan oleh Luqman ketika perlawanan menentang Tajikistan pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu nyata terus membakar semangatnya untuk terus merobek gawang lawan yang bakal dihadapi selepas ini.

    “Ini kali pertama saya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan. Ini sudah tentu memberikan motivasi untuk saya hadapi perlawanan seterusnya.

    “Saya mahukan gelaran Kasut Emas dan bukan itu sahaja, saya mahu Malaysia layak ke Piala Dunia B-17. Saya akan memberikan yang terbaik untuk memenuhi impian ini.

    “Meskipun meledak empat gol tetapi saya tidak boleh berpuas hati. Saya perlu bekerja keras untuk terus kekal membarisi kesebelasan utama,” katanya kepada Berita Harian.

    Selain memburu gelaran Kasut Emas, Luqman Hakim juga berazam untuk membantu pasukan negara mara ke temasya Piala Dunia Remaja yang akan diadakan pada tahun hadapan di Peru.

    Luqman beraksi dengan cemerlang apabila beliau menyumbat 4 gol pada perlawanan menentang Tajikistan. Empat jaringan Luqman berjaya membantu pasukan negara mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan kumpulan A.

    Pasukan bimbingan Lim Teong Kim itu akan berdepan dengan pasukan Thailand pada Ahad ini sebelum menutup kempen bertemu juara dua kali iaitu pasukan Jepun pada Rabu depan.

    Luqman berpendapat pasukan Thailand sudah pasti akan memberikan cabaran yang berbeza kepada pasukan negara.

    “Thailand sebuah pasukan yang baik dan sudah tentu mereka akan memberikan tentangan yang lebih sengit,” katanya.

    Apa pendapat anda mengenai peluang Luqman Hakim untuk meraih gelaran Kasut Emas temasya AFC Bawah 16 Tahun edisi kali ini? Mampukah penyerang utama skuad negara ini mencapai matlamat beliau?

    Baca Juga: Sukan Bawah 16 Tahun Mengamuk Di Bukit Jalil

    Leave a comment

    Your email address will not be published.