• Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) berpendapat pasukan Kedah perlu mewujudkan satu badan dimana badan tersebut bertindak sebagai penilai kepada prestasi pemain import pasukan.

    JUFC menerusi pengerusi mereka, Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, pasukan khas ini mampu memastikan persatuan tidak bergantung sepenuhnya kepada ejen.

    “Seeloknya tubuhkan satu pasukan pemantau untuk menilai dan menyiasat latar belakang pemain-pemain import ini.

    “JUFC tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang menentukan pemilihan pemain import ini. Skuad pemantau hendaklah terdiri di kalangan individu yang mempunyai kepakaran tentang bolasepak dan bukannya orang-orang yang menjaga persatuan bolasepak,” katanya kepada Sukan Sinar.

    Tambah Safarizal, pemilihan pemain yang nantinya dibuat oleh badan tersebut memerlukan penglibatan dan persetujuan dari ketua jurulatih Kedah 2019 agar bersesuaian dengan taktikal yang dibawa olehnya.

    “JUFC berharap KFA memberi kebebasan sepenuhnya kepada jurulatih yang bakal dilantik untuk memilih sendiri pemain import dan juga pemain tempatan yang dirasakan sesuai dengan corak permainan yang bakal ditampilkan nanti,” tambah beliau.

    Tegas Safarizal lagi, persatuan perlu telus dan menjadikan Mesyuarat Exco Eksekutif KFA sebagai tempat untuk memutuskan semua keputusan penting. Safarizal turut percaya beberapa pemain masih lagi relevan jika pengalaman diambil kira namun pada akhirnya perlu diputuskan oleh ketua jurulatih baharu.

    Cadangan ini timbul setelah pemain import pasukan, Liridon Krasniqi memuat naik komen yang menyelar bekas ketua jurulatih pasukan, Nidzam Azdha Yusoff dengan menggelar Nidzam sebagai pengecut kerana telah meninggalkan pasukan ketika berada dalam prestasi yang tidak baik.

    Selain itu, tindakan Liridon yang menggelarkan diri sebagai legenda pasukan juga tidak disenangi oleh ramai pihak kerana perkara tersebut dilihat keterlaluan dan masih lagi ada pemain yang lebih layak untuk digelar sebagai legenda pasukan berbanding pemain dari Kosovo ini.

    Apa pendapat anda mengenai cadangan JUFC yang meminta KFA untuk mewujudkan satu badan penilai bagi menilai pemain import pasukan ? Adakah ianya satu langkah yang baik untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan ?

    Baca Juga: Pengadil Tempatan Akan Terjejas

    Leave a comment

    Your email address will not be published.