• Semangat dan kekuatan berpasukan merupakan kunci utama skuad bawah 16 tahun negara dalam menghadapi cabaran dalam temasya AFC Bawah 16 Tahun yang akan bermula Khamis ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa skuad B-16 tahun adalah generasi emas negara, beliau lebih mempercayai pemain skuad 2014 sebenarnya lebih berkualiti dan memiliki bakat semulajadi terbaik.

    “Skuad S Balachandran yang terkandas di suku akhir pada tahun 2014 pada hemat saya adalah generasi pemain yang lebih berbakat.

    “Skuad kendalian Teong Kim pula lebih banyak bergantung kepada gerakan berpasukan dan mempunyai disiplin taktikal yang tinggi. Tetapi masalah pasukan ini ialah keyakinan diri. Mereka perlu lebih yakin dan berani untuk bersaing dengan pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan.

    “Mereka harus mengelak daripada sindrom ‘bunuh diri’ seperti yang terjadi ketika tewas kepada Jepun ketika kelayakan AFC tahun lalu,” katanya kepada Sukan NSTP.

    Beberapa pemain daripada skuad 2014 berjaya mencipta nama dalam saingan Liga Malaysia seperti R.Kogileswaran (Pahang), Muhammad Haziq Nadzli (JDT) dan Najmuddin Samat (JDT III).

    Pada masa yang sama, Safirul juga melaungkan keyakinan bahawa skuad kendalian Lim Teong Kim mampu untuk beraksi dengan cemerlang kerana mempunyai penyerang yang mempunyai kualiti terbaik.

    “Pasukan ini mempunyai tiga pemain serangan yang amat pantas dan berbakat besar. Luqman Hakim, Amirul Azzim dan Najmuddin baru berusia 15 tahun. Sekiranya mereka berada pada prestasi terbaik, mereka boleh merobek pertahanan mana-mana pasukan kebangsaan di Asia,” tambah Safirul.

    Malaysia akan memulakan kempen berdepan Tajikistan pada Khamis ini, diikuti aksi menentang Thailand tiga hari kemudian dan perlawanan terakhir bertemu Jepun pada 26 September.

    Ketiga-tiga perlawanan itu dijadual berlangsung pada jam 4.40 petang di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

    Baca Juga: Hadi Fayyadh Berangkat Ke Jepun Minggu Hadapan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.