• Pasukan Kelantan dan Johor Darul Ta’zim mengesahkan tempat mereka di peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia edisi 2018 apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan kumpulan C semalam.

    Pasukan bimbingan Yusri Che Lah berjaya menundukkan pasukan Kedah di laman sendiri dengan keputusan 2-0. Kelantan tampil dengan lebih bertenaga dan juga tersusun dimana mereka berjaya menyekat gerakan serangan yang dilancarkan oleh Kedah.

    Sementara itu, kegagalan pemain Kedah untuk memanfaatkan peluang yang dimiliki oleh mereka menjadi punca utama naib juara Piala Malaysia musim lalu ini tewas kepada barisan muda Kelantan. Akhyar Rashid dan Liridon Krasniqi masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun keduanya gagal untuk berbuat demikian.

    Satu lagi pasukan yang mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir daripada kumpulan C ialah juara Liga Super musim 2018, Johor Darul Ta’zim. Satu gol daripada pemain import, Gonzalo Cabrera dan dua gol lagi disumbangkan oleh Safawi Rasid berjaya mengelakkan juara bertahan ini daripada tersingkir di peringkat kumpulan.

    Selain mara ke peringkat suku akhir, pasukan bimbingan Luciano Figueroa ini muncul sebagai juara kumpulan, satu mata di hadapan skuad The Red Warriors.


    Sumber Gambar: MFL

    Kelantan dan Johor Darul Ta’zim akan menentang pasukan Sabah dan Pahang pada peringkat suku akhir nanti. JDT akan menghadapi pasukan Pahang manakala Kelantan pula akan menentang pasukan Sabah.

    Apa yang pasti, Kelantan dan Johor Darul Ta’zim harus menampilkan aksi terbaik mereka berbanding ketika beraksi di saingan peringkat kumpulan. Jika mereka membuat kesilapan, maka kedua-dua pasukan akan mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia.

    Selain itu, kedua-dua pasukan juga perlu tampil lebih garang dan mereka harus menyelesaikan segala masalah dan kelemahan yang berlaku ketika saingan peringkat kumpulan.

    Apa pendapat anda mengenai kemaraan pasukan Kelantan dan Johor Darul Ta’zim ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala Malaysia edisi 2018? Mampukah dua pasukan ini beraksi dengan baik ketika menentang Sabah dan Pahang sekaligus mara ke peringkat separuh akhir?

    Baca Juga: Mifa Pincang Berdepan Johor Darul Ta’zim

    Leave a comment

    Your email address will not be published.