• Ketua pasukan skuad bawah 16 tahun negara, Muhammad Hariz Mansor enggan menghampakan rakyat Malaysia dan mahu mencari kemenangan pada aksi kedua kumpulan A menentang pasukan Thailand hari ini.

    Setelah beraksi dengan cemerlang pada perlawanan pembukaan, pasukan bimbingan Lim Teong Kim dilihat mahu mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir dengan lebih awal.

    “Sudah pasti rakyat Malaysia mahukan keputusan yang baik daripada kami. Mereka juga mengharapkan kami layak ke Piala Dunia B-17 tahun depan. Jadi kami perlu cuba lakukan yang terbaik.

    “Kami sudah empat tahun berjuang dan berkorban untuk melakukan persiapan bagi memburu tiket ke Piala Dunia, jadi peluang ini tidak boleh disia-siakan.

    “Thailand juga bukan pasukan mudah dan kami menghormati mereka. Apa yang penting kami perlu tampil dengan aksi lebih mantap dan kesilapan yang dilakukan ketika berdepan Tajikistan dijadikan sebagai pengajaran,” katanya kepada Berita Harian.

    Jika berjaya menewaskan pasukan Thailand, maka pasukan bimbingan Lim Teong Kim akan mara ke peringkat suku akhir dan pemain bakal berada dalam kondisi terbaik menuju ke perlawanan menentang ancaman utama dalam kumpulan A iaitu pasukan Jepun.

    Muhammad Hariz menambah beliau dan rakan-rakan akan turun tanpa sebarang tekanan di bahu mereka walaupun berdepan misi wajib menang untuk mara ke peringkat seterusnya.

    “Kami tiada tekanan, jurulatih pun hanya mahukan kami melakukan yang terbaik. Jadi, kami akan beraksi seperti biasa dengan mengambil serius setiap perlawanan,” katanya.

    Apa yang pasti, pemain skuad negara perlu memanfaatkan peluang ini bagi mengesahkan kemaraan lebih awal dan pemain berada dalam keadaan terbaik menuju ke perlawanan menentang Jepun.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan bawah 16 tahun negara menentang pasukan Thailand hari ini? Mampukah barisan pemain muda negara menampilkan aksi terbaik seterusnya mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir temasya AFC Bawah 16 Tahun edisi 2016?

    Baca Juga: Lebih Baik Fikirkan Tentang Diri Sendiri

    Leave a comment

    Your email address will not be published.