• Ketua jurulatih pasukan bawah 16 tahun negara, Lim Teong Kim menyatakan lebih baik pasukan negara memikirkan tentang diri sendiri daripada memberikan perhatian kepada pasukan Thailand.

    Kedua-dua pasukan akan berentap hari ini pada perlawanan kedua kumpulan A dimana pasukan negara berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir dengan lebih awal jika berjaya mencatat kemenangan.

    “Bagi saya, lebih baik fikirkan diri sendiri, berusaha untuk memantapkan bahagian yang lemah. Kita tak boleh lihat pasukan lawan, sama ada mereka menang atau kalah.

    “Semua pasukan ada peluang untuk menang dan layak ke peringkat seterusnya, begitu juga kami. Apa yang penting, pasukan kita beraksi dengan baik pada hari perlawanan supaya menang,” katanya kepada Berita Harian.

    Pada masa yang sama, pengurus pasukan, Datuk S.Sivasundram menyeru seluruh penyokong untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada anak-anak muda negara.

    “Saya yakin kita boleh tewaskan Thailand kalau pemain kekalkan fokus seperti berdepan Tajikistan. Cuma saya dan pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menyeru penyokong membanjiri stadium esok.

    “Kita lihat ketika Indonesia menjadi tuan rumah Kejohanan B-16 pada bulan lalu, peminat mereka memenuhi stadium dan kita harap penyokong Malaysia pun dapat memberi sokongan penuh kepada pasukan.

    “Saya percaya dengan sokongan padu penyokong, pemain Malaysia dapat mempamerkan aksi yang lebih mantap dan bersemangat,” kata beliau.

    Selepas membelasah pasukan Tajikistan pada perlawanan pembukaan kumpulan A Khamis lalu, diharapkan pemain skuad bawah 16 tahun negara dapat mengekalkan momentum semasa menuju ke perlawanan menentang Thailand hari ini.

    Keputusan positif merupakan satu motivasi yang baik bagi para pemain sebelum turun menentang Jepun yang membelasan Thailand pada perlawanan pertama mereka Rabu ini.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan bawah 16 tahun negara untuk mencatat keputusan positif pada perlawanan menentang pasukan Thailand hari ini? Mampukah Luqman Hakim dan rakan-rakan beraksi sepertimana ketika mereka turun menentang pasukan Tajikistan pada Khamis lalu?

    Baca Juga: Kasut Emas Buruan Luqman Hakim

    Leave a comment

    Your email address will not be published.