• Pengarah Teknikal Natioal Football Development Program (NFDP) Lim Teong Kim berkata beliau masih lagi individu yang tepat untuk memimpin program tersebut. Persoalannya, setelah gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, adakah beliau masih lagi individu yang tepat ?

    Teong Kim berkata beliau masih lagi orang yang tepat untuk menerajui NFDP berdasarkan pencapaian yang telah diraih oleh pasukan sejak penubuhannya pada 2014.

    “Saya memang individu yang tepat selama ini. Adakah anda fikir kami melakukan sesuatu yang tidak betul?

    “Bola sepak adalah budaya di Eropah, jadi kita perlu mengubah budaya itu di sini terlebih dahulu. Ada beberapa isu yang perlu diberikan perhatian namun saya hanya boleh melakukan beberapa perkara sahaja.

    “Badan induk bola sepak di negara ini juga seharusnya melakukan sesuatu,” katanya kepada Berita Harian.

    Namun, setelah pasukan bawah 16 tahun negara gagal untuk melangkah ke peringkat separuh akhir AFC Bawah 16 Tahun bagi membolehkan mereka layak ke temasya Piala Dunia Remaja 2019, ramai yang mempersoalkan kedudukan Lim Teong Kim.

    Tambahan pula beliau dipecat daripada jawatan sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun negara. Kini nasib Teong Kim terletak di tangan KBS dan MSN.

    Kami berpendapat Teong Kim patut dikekalkan sebagai individu yang mengetuai NFDP kerana segala usaha dan juga kaedah yang digunakan telah berjaya melahirkan pemain yang mempunyai kualiti serta kebolehan yang tinggi.

    Lihat saja pencapaian yang telah diraih oleh NFDP sejak program tersebut ditubuhkan. Mereka berjaya muncul juara beberapa kejohanan antarabangsa dan pemain mereka juga pernah menjalani latihan bersama kelab terkemuka Eropah.

    Skuad bawah 16 tahun gagal untuk layak ke Piala Dunia Remaja. Namun, apa yang lebih penting ialah pembangunan pemain dan juga menentukan hala tuju pemain selepas ini kerana mereka merupakan masa depan bola sepak Malaysia yang perlu dijaga dan dikembangkan lagi.

    Apa pendapat anda mengenai masa depan Lim Teong Kim bersama NFDP ? Adakah beliau akan kekal sebagai individu yang menerajui perjalanan NFDP pada masa akan datang ?

    Baca Juga: NFDP Akan Distruktur Semula

    Leave a comment

    Your email address will not be published.