• Pasukan bawah 16 tahun negara mahu mengambil semangat pasukan abang mereka iaitu skuad bawah 23 tahun yang berjaya menewaskan gergasi Asia, Korea Selatan pada temasya Sukan Asia 2018 lalu sebagai pembakar semangat untuk menghadapi pasukan Jepun petang ini.

    Pasukan bimbingan Lim Teong Kim wajib mencatat kemenangan bagi mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir sekaligus menghidupkan peluang untuk beraksi dalam temasya Piala Dunia Remaja tahun hadapan.

    Mengulas mengenai perlawanan pada petang ini, Teong Kim mengatakan bahawa anak-anak buah beliau akan turun dan menerapkan corak permainan seperti biasa sepertimana ketika menentang Tajikistan dan Thailand.

    “Kami mahu turun (ke gelanggang) untuk menang kerana tiada jalan lain lagi bagi Malaysia. Kami akan bermain seperti biasa, sama ketika berdepan pasukan lain sebelum ini.

    “Situasi dalam kumpulan sekarang ini semua pasukan memiliki peluang untuk layak ke suku akhir. Jadi semua akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang, termasuk kami,” katanya kepada Berita Harian.

    Skuad bawah 16 tahun negara dijangka berdepan tugas sukar hari ini apabila Jepun bakal menurunkan kesebelasan terbaik mereka setelah merehatkan beberapa pemain utama pada perlawanan menentang Tajikistan Ahad lalu.

    Tambahan pula, penjaring terbanyak pasukan, Luqman Hakim Shamsudin tidak dapat diturunkan pada perlawanan petang ini kerana layangan kad merah ke atas beliau ketika Malaysia tewas kepada Thailand.

    “Kami mempunyai kumpulan pemain yang besar dan mampu menggalas tugas dengan baik. Kita akan menggunakan penyerang lain untuk gantikan Luqman. Sama juga ketika kami kehilangan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman sebelum ini. Jadi tidak banyak perbezaan akan dilakukan,” katanya.

    Apa yang pasti, para pemain perlu menampilkan aksi terbaik mereka bagi memastikan kemenangan menjadi milik pasukan negara dan kita melangkah ke peringkat suku akhir.

    Meskipun rekod pertemuan kedua-dua pasukan tidak memihak kepada Malaysia, namun rekod tersebut diharapkan tidak menggangu fokus para pemain sekaligus mencipta kejutan dengan menewaskan antara pasukan terbaik di rantau Asia ketika ini.

    Baca Juga: Misi Ke Piala Dunia Ditentukan Hari Ini

    Leave a comment

    Your email address will not be published.