• Ketua jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic yakin pasukan bimbingan beliau mampu untuk menewaskan pasukan PKNS FC dalam perlawanan peringkat suku akhir Piala Malaysia 2018 hari ini.

    Meskipun rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada musim ini lebih memihak kepada PKNS, namun Mehmet mahu anak-anak buah beliau untuk melupakan rekod lampau dan memberikan sepenuh perhatian terhadap perlawanan malam ini.

    “Lupakan pencapaian lalu. Ini pertandingan baharu dan suasananya baharu. Saya minta pemain Perak tumpukan perhatian terhadap perlawanan sehingga wisel penamat.”

    Selain itu, Mehmet turut menegaskan Perak merupakan pasukan kedua terbaik dalam saingan Liga Super musim ini dan mereka perlu mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

    “Jadi kami yang terbaik. Saya yakin pemain Perak sedar akan kemampuan mereka. PKNS sebuah pasukan sangat bagus, prestasi pemain mereka hebat. Mereka memiliki pemain tempatan sangat baik dan berpengalaman.

    “Saya jangkakan perlawanan sengit, namun jika pemain Perak beraksi dengan corak permainan ditampilkan sebelum ini, kita mampu memberi tentangan kepada mereka,” katanya kepada Berita Harian.

    Perak akan turun tanpa kelibat ketua pasukan, Nasir Basharuddin yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama pasukan negara pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Kemboja tempoh hari dan ketiadaan Nasir nyata memberi sedikit kerisauan dalam diri Mehmet.

    “Agak malang kami tidak dapat menurunkan Nasir untuk perlawanan ini. Tetapi perjuangan tetap diteruskan dan saya berharap siapa yang mengambil alih tempatnya mampu melaksanakan tugas dengan berkesan, ” tambah Mehmet.

    Apa yang pasti, Perak perlu menghalang PKNS FC daripada memperoleh gol di tempat lawan pada perlawanan suku akhir pertama malam ini. Selain itu, pemain Perak juga perlu mencari margin jaringan yang besar untuk dibawa ke Stadium Shah Alam pada hujung minggu ini bagi perlawanan suku akhir kedua.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan suku akhir pertama saingan Piala Malaysia 2018 antara pasukan Perak menentang PKNS FC ? Pasukan mana yang akan membawa bekalan selesa menuju ke perlawanan kedua yang dijadualkan pada Ahad ini ?

    Baca Juga: Nazliazmi Terima Kehadiran Mehmet Durakovic

    Leave a comment

    Your email address will not be published.