• Ketua jurulatih pasukan Selangor, Nazliazmi Nasir menyatakan beliau menerima kehadiran Mehmet Durakovic sekiranya pengendali Perak itu dilantik sebagai ketua jurulatih pada saingan musim hadapan.

    Nazliazmi menegaskan kehadiran Mehmet adalah untuk kebaikan pasukan dan beliau turut berpendapat bahawa pasukan Selangor perlukan pengendali yang lebih berpengalaman bagi menghadapi saingan musim hadapan.

    Jurulatih yang diangkat bagi menggantikan P.Maniam pada pertengahan musim ini turut menghormati segala keputusan yang akan dibuat oleh pengurusan pasukan kelak.

    “Saya menghormati apa sahaja keputusan pasukan. Jika saya berada dalam senarai kejurulatihan untuk musim depan, saya akan memberi kerjasama 100 peratus, tidak kira siapa ketua jurulatih.

    “Sekiranya tiada, saya akan meninggalkan Selangor dengan perasaan bangga,” ujar Nazliazmi kepada Stadium Astro.

    Khabarnya, satu mesyuarat khas melibatkan barisan kejurulatihan Selangor akan diadakan minggu ini bagi merencana skuad Merah Kuning menjelang musim 2019.

    “Mengenai masa depan saya bersama Selangor, saya serahkan kepada pihak pengurusan. Buat masa ini, saya harus hormat kontrak yang akan berakhir pada November.

    “Akan ada sesi perjumpaan antara barisan kejurulatihan dan daripada situ, kedudukan setiap individu, termasuk saya, akan diketahui,” tambah beliau.

    Sejak diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan, Nazliazmi berjaya membimbing Gergasi Merah mara ke perlawanan akhir Piala FA ediai 2018. Akan tetapi, Amri Yahyah dan rakan-rakan tewas kepada pasukan Pahang pada perlawanan akhir.

    Meskipun cemerlang dalam saingan Piala FA, namun nasib Selangor jauh berbeza dalam saingan Liga Super musim ini apabila mereka sekadar menamatkan saingan di tangga ke-8.

    Prestasi Selangor dalam saingan Piala Malaysia juga malap apabila juara 33 kali ini terkandas di saingan peringkat kumpulan. Selangor hanya mampu mengutip 2 kemenangan daripada 6 perlawanan yang dihadapi dalam peringkat kumpulan.

    Apa pendapat anda mengenai Mehmet Durakovic yang dikatakan semakin hampir untuk menjadi ketua jurulatih pasukan Selangor bagi saingan musim hadapan? Adakah Mehmet ketua jurulatih yang sesuai bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan Gergasi Merah seperti sebelum ini?

    Baca Juga: Adakah Rufino Segovia Kekal Bersama Selangor?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.