• Pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim, PKNP FC akan menentang pasukan Sabah pada perlawanan peringkat kumpulan D Piala Malaysia 2018 malam ini. Perlawanan menentang pendahulu kumpulan ini merupakan peluang PKNP FC untuk merapatkan kedudukan dengan pasukan Pahang yang kini berada di tempat kedua.

    Ketua jurulatih pasukan, Abu Bakar Fadzim berkata pasukan bimbingan beliau tetap akan berjuang hingga ke akhir saingan biarpun sedar mempunyai peluang tipis mara ke suku akhir Piala Malaysia dari kumpulan D.

    “Memang peluang kami tipis kerana Sabah dan Pahang berkedudukan baik untuk meneruskan kemaraan dari kumpulan ini.

    Bagaimanapun pemain tetap menjanjikan persaingan sengit kepada pasukan lawan dalam baki dua perlawanan,” katanya kepada Berita Harian.

    Tambah jurulatih berkenaan, pasukannya juga berdepan kecederaan beberapa tonggak, namun anak buahnya tetap cekal dan tidak patah semangat.

    “Pemain sudah membuktikan perwatakan mereka dan bersedia berjuang dan memberi yang terbaik. Saya harap anak buah saya akan bermain seperti ketika kami mengikat Pahang 0-0 di Kuantan, minggu lalu,” katanya.

    PKNP FC memulakan saingan Piala Malaysia 2018 dengan cemerlang apabila mereka menewaskan pasukan Selangor pada perlawanan pembukaan. Namun, mereka gagal untuk mengekalkan momentum dan hanya mengutip satu mata sahaja selepas kemenangan ke atas Selangor.

    Peluang PKNP FC masih lagi terbuka jika mereka berjaya menewaskan pasukan Sabah malam ini. Jika PKNP mencatat kemenangan, maka mereka akan mempunyai 7 mata, satu mata dibelakang pasukan Pahang.

    Bagi Sabah pula, mereka sudahpun layak ke peringkat suku akhir. Jika berjaya menewaskan PKNP, mereka akan mara sebagai juara kumpulan D. Satu pencapaian yang sangat baik memandangkan Sabah tidak beraksi dalam saingan Piala Malaysia pada enam edisi terakhir.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan PKNP FC menentang pasukan Sabah malam ini? Mampukah PKNP mencatat kemenangan sekaligus menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir?

    Atau Sabah yang bakal tampil lebih garang dan menjadi juara kumpulan D saingan Piala Malaysia 2018?

    Baca Juga: Pahang Gagal Sekat Kebangkitan Selangor

    Leave a comment

    Your email address will not be published.