• Peluang skuad bawah 16 tahun negara untuk layak ke peringkat suku akhir temasya AFC Bawah 16 Tahun masih lagi terbuka setelah pasukan Jepun hanya mampu mencatat keputusan seri ketika berhadapan dengan Tajikistan semalam.

    Pada perlawanan petang semalam, pasukan bimbingan Lim Teong Kim tumbang kepada pasukan Thailand dengan keputusan 4-2. Kekalahan pasukan negara berpunca daripada kualiti pengadilan yang sangat teruk dan juga faktor nervous para pemain apabila beraksi dalam stadium yang dipenuhi dengan penonton.

    Mengulas mengenai kualiti pengadilan, Lim Teong Kim berpendapat pengadil telah membantutkan usaha Malaysia untuk mencari gol kemenangan apabila melayangkan kad merah kepada penyerang pasukan, Luqman Hakim ketika kedudukan sedang terikat 2-2.

    “Saya fikir selepas kami bangkit mengikat kedudukan 2-2, pengadil membunuh permainan kami. Jika dia tahu mengenai bola sepak, ia jelas bukan kad merah.

    “Saya tidak setuju dengan kad merah itu dan ia memberi kesan kepada permainan kami. Beraksi kurang seorang pemain bukan mudah, tapi inilah bola sepak.”

    “Jika lihat video memang bukan kad merah, dia (Luqman) melihat kepada bola dan dia tidak nampak pemain lawan. Itu pergerakan biasa dalam bola sepak,” katanya kepada Berita Harian.

    Tambah Teong Kim, jika pengadil tidak melayangkan kad merah kepada Hariz, pasukan negara masih lagi berpeluang untuk mencari gol kemenangan.

    “Gol pertama seperti hadiah daripada pemain saya, mungkin hadiah hari jadi atau hadiah hari raya. Jadi, Thailand perlu berterima kasih kepada pemain saya.

    “Bangkit mengikat kedudukan 2-2 sangat membanggakan saya tapi kad merah merencatkan permainan kami. Mereka tahu kekuatan dan kelemahan kami, malah kami tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Jika tiada kad merah kami memiliki peluang untuk menang perlawanan ini,” tambah beliau.

    Apa yang pasti, peluang untuk skuad bawah 16 tahun negara masih lagi terbuka dan mereka wajib menewaskan Jepun pada perlawanan Rabu ini bagi mencapai matlamat tersebut.

    Anak-anak buah Lim Teong Kim perlu segera melupakan kekalahan kepada Thailand dan memberi tumpuan kepada persediaan untuk turun menentang Jepun.

    Baca Juga: Kemenangan Untuk Rakyat Malaysia

    Leave a comment

    Your email address will not be published.