• Pasukan Sabah mencari bekalan selesa apabila berdepan pasukan Kelantan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia edisi 2018 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

    Pengendali pasukan, Jelius Ating berkata pasukan bimbingan beliau tidak mahu mengharungi laluan sukar apabila beraksi di hadapan ribuan penyokong pasukan Kelantan malam ini.

    “Kami menganalisis video semalam dan saya lihat Kelantan pasukan yang bekerja keras. Mereka (Kelantan) sebenarnya tidak bergantung kepada pemain tertentu, tapi memiliki pasukan yang boleh mencetus masalah kepada kami. Kami berhati-hati… pemain Kelantan kuat berlari.”

    Jelius menambah persiapan pasukan beliau berjalan dengan lancar meskipun menghadapi kekangan masa dan menjalani latihan penuh dalam masa yang singkat.

    “Kami hanya menjalani latihan penuh semalam dan hari sebelumnya kerana perlawanan kami sebelum ini ditangguh ke Isnin lalu. Bagaimanapun, kami menggunakan masa dua hari latihan itu sebaik-baiknya dan saya gembira dengan prestasi semasa pemain,” kata Jelius kepada Berita Harian.

    Menjelang perlawanan malam ini, pasukan Sabah menerima khabar gembira apabila pemain tonggak pasukan seperti penyerang import, Hector Ramos bebas daripada sebarang kecederaan dan sedia untuk diturunkan pada perlawanan malam ini.

    “Pito (Hector Ramos) kembali selepas bersama pasukan negaranya pada aksi persahabatan baru-baru ini, begitu juga Hamran Peter yang kembali daripada membantu skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah di Perak,” katanya.

    Apa yang pasti, Sabah perlu memanfaatkan perlawanan malam ini dengan mencari bekalan selesa iaitu jaringan di tempat lawan sebelum turun di laman sendiri pada perlawanan suku akhir kedua.

    Bagi mencapai matlamat tersebut, juara kumpulan D ini dijangka menurunkan kesebelasan terbaik mereka setelah merehatkan beberapa pemain penting pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang pasukan Pahang.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Sabah menentang pasukan Kelantan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia edisi 2018? Mampukah pasukan dari Liga Perdana ini meneruskan prestasi cemerlang dalam saingan edisi kali ini dengan mencatat satu lagi kemenangan?

    Baca Juga: Kelantan Turun Tanpa Ahmad Haziq Berdepan Sabah

    Leave a comment

    Your email address will not be published.