• Pasukan Selangor membuat persediaan awal bagi mengharungi cabaran musim hadapan apabila terbang ke Indonesia bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang kelab dari Liga 1 iaitu Madura United dan Persija Jakarta.

    Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan dua aksi terbabit mampu memberi pendedahan kepada para pemain sebagai langkah memantapkan lagi pasukan itu menjelang cabaran musim hadapan.

    “Kami ingin melihat pemain dan juga pegawai secara lebih dekat sebagai perancangan kami untuk membentuk pasukan bagi musim depan,” kata Dr Johan kepada Berita Harian.

    Tambah Dr Johan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerima tawaran untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan tersebut memandangkan mereka tidak lagi boleh melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

    “Musim kita sudahpun berakhir. Jadi ini adalah peluang yang terbaik untuk kita melakukan persiapan bagi musim hadapan. Jelajah ini juga ditaja dan FAS tidak mengeluarkan satu sen pun.

    “Tawaran itu juga diberi selepas kita tersingkir dari saingan Piala Malaysia. Jika kita masih kekal bersaing, kita tidak akan menerima jemputan ini,” katanya.

    Selangor ketika ini menduduki tangga tercorot kumpulan D dengan 3 mata daripada lima perlawanan saingan peringkat kumpulan. Piala Malaysia edisi kali ini sememangnya bukan yang terbaik buat Selangor dimana mereka tewas empat perlawanan berturut-turut sehingga menyebabkan juara 33 kali ini menjadi pasukan pertama yang tersingkir daripada saingan.

    Pasukan bimbingan Nazliazmi Nasir ini hanya bangkit pada perlawanan kelima kumpulan dimana mereka menewaskan pasukan Pahang dengan keputusan 3-1 meskipun beraksi dengan 10 pemain pada sebahagian besar perlawanan apabila Ashmawi Yakin dilayangkan kad merah pada minit ke-26.

    Perlawanan terakhir bertemu PKNP FC pada 16 September ini hanya akan menjadi aksi pelengkap jadual memandangkan kedua-dua pasukan sudah tidak layak beraksi di peringkat seterusnya.

    Apa pendapat anda mengenai persediaan awal yang dilakukan oleh pasukan Selangor bagi menghadapi saingan musim hadapan ? Mampukah mereka beraksi dengan lebih baik berbanding aksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini ?

    Baca Juga: Pahang Gagal Sekat Kebangkitan Selangor

    Leave a comment

    Your email address will not be published.