• Penjaga gol nombor satu skuad bawah 16 tahun negara, Sikh Izhan Nazrel berkemungkinan besar dapat diturunkan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A temasya AFC Bawah 16 Tahun menentang pasukan Jepun pada Rabu ini.

    Sikh Izhan dilayangkan kad merah ketika pasukan negara menewaskan Tajikistan pada perlawanan pembukaan kumpulan A pada Khamis lalu. Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kemudiannya telah mengumumkan bahawa Sikh akan digantung satu perlawanan dan didenda sebanyak AS$500 (RM2,066).

    “Denda perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini dikeluarkan dan ia mengikut Artikel 11.3 Kod Etika dan Disiplin AFC. Sikh Izhan akan dikenakan tindakan lebih tegas sekiranya mengulangi kesilapan sama,” kata AFC.

    Sikh Izhan mengasari pemain Tajikistan di bahagian dada dengan menggunakan kaki ketika mencabar bola tinggi pada minit-minit akhir permainan. Mujur perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 6-2 memihak kepada pasukan Malaysia.

    Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun negara, Lim Teong Kim tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas Sikh Izhan dan menyifatkan ia hanya kesilapan dilakukan pemain di peringkat usia muda dan dari situ pemain muda ini akan belajar.

    Ketiadaan Sikh Izhan menyebabkan Teong Kim menurunkan penjaga gol simpanan, Abdul Alim Al Imri Ali dalam kesebelasan utama ketika berdepan pasukan Thailand semalam.

    Apa yang pasti, siapa saja yang diturunkan bagi mengawal pintu gol negara pada perlawanan menentang Jepun sama ada Sikh Izhan Nazrel ataupun Abdu Alim Al-Amri harus menampilkan persembahan terbaik mereka bagi memastikan Jepun tidak memperoleh jaringan.

    Apatah lagi barisan serangan Jepun yang menampilkan aksi cemerlang ketika mereka menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan pertama kumpulan A.

    Untuk makluman, setelah mengutip satu kemenangan dan satu kekalahan, skuad bawah 16 tahun negara wajib menang ke atas Jepun pada Rabu ini jika mereka mahu mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir.

    Apa pendapat anda mengenai posisi penjaga gol pasukan bawah 16 tahun negara ? Penjaga gol manakah yang patut diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang pasukan Jepun Rabu ini ?

    Baca Juga: Peluang Untuk Mara Masih Terbuka

    Leave a comment

    Your email address will not be published.