• Pasukan kebangsaan akan turun menentang Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September ini tanpa kelibat penyerang beteran, Norshahrul Idlan Talaha yang meminta pelepasan untuk menyelesaikan masalah keluarga. Di sini, kami memilih trio serangan yang mungkin diturunkan oleh Tan Cheng Hoe pada dua perlawanan tersebut.

    Di bahagian sayap kiri, Akhyar Rashid menjadi pilihan utama untuk mengisi posisi tersebut di atas persembahan cemerlang beliau pada temasya Sukan Asia 2018 lalu.

    Pemain berusia 19 tahun ini dijangka tidak akan berdepan sebarang persaingan bagi posisi tersebut kerana kekurangan pilihan di bahagian serangan pasukan negara.

    Di posisi sayap kanan pula, kami berpendapat posisi tersebut akan diisi oleh penyerang Nakhon Ratchasima FC, Shahrel Fikri Fauzi. Pernah beraksi sebagai sayap kanan ketika mewakili PKNP FC dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini, Shahrel dilihat calon yang sesuai kerana beliau mempunyai pengalaman dan juga kebolehan untuk beraksi dengan baik di posisi tersebut.

    Manakala di posisi penyerang utama pula, ketua pasukan, Zaquan Adha dilihat calon yang sesuai untuk mengisi posisi tersebut. Zaquan menjaringkan empat gol ketika Malaysia membelasah Bhutan di Bukit Jalil pada April.

    Tan Cheng Hoe hanya mempunyai empat penyerang bagi menghadapi Taiwan dan juga Kemboja. Jadi, pilihan yang beliau miliki tidaklah sebanyak seperti perlawanan sebelumnya dan beliau perlu bijak dalam mengatur pemain bagi mengelakkan kecederaan.

    Dengan kekurangan pilihan yang dihadapi, kami berpendapat trio di atas merupakan pilihan terbaik di bahagian serangan bagi menggempur kubu pertahanan lawan sekaligus mengcari jaringan.

    Apa yang penting, penyerang sedia ada perlu menggunakan peluang ini untuk mereka menampilkan aksi terbaik sekaligus memikat hati Tan Cheng Hoe bagi menurunkan mereka pada perlawanan akan datang.

    Apa pendapat anda mengenai trio serangan yang mungkin diturunkan oleh Tan Cheng Hoe pada perlawanan menentang Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September ini ? Mampukah ketiga-tiga penyerang ini menggegar benteng pertahanan lawan andai diturunkan dalam kesebelasna utama pasukan negara ?

    Baca Juga: Mat Yo Tinggalkan Pasukan Negara

    Leave a comment

    Your email address will not be published.