• Persembahan cemerlang Shahrel Fikri Fauzi pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada Isnin lalu masih lagi menjadi bualan peminat bola sepak Malaysia. Di sini, kami berpendapat Shahrel wajar diberikan peluang untuk tampil sebagai penyerang utama skuad negara.

    Dalam dua perlawanan menentang Taiwan dan Kemboja, Shahre hanya dimasukkan daripada bangku simpanan pada separuh masa kedua. Dalam dua perlawanan ini, Shahrel ditugaskan untuk bermain di belakang penyerang, Zaquan Adha.

    Setelah Zaquan dikeluarkan dan Eki mengambil tempat beliau, barulah penyerang Nakhon Ratchasima ini menampilkan kemampuan serta potensi sebenar beliau dalam mengetuai jentera serangan negara. Larian serta gelecekkan beliau seringkali menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan lawan.

    Skuad Harimau Malaya telah menjalani tiga daripada enam perlawanan persahabatan yang dijadualkan untuk persiapan menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki November ini. Pada Oktober nanti, Malaysia akan menghadapi dua lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang Sri Lanka dan juga Kyrgyztan diikuti pasukan Maldives pada November.

    Pada ketiga-tiga perlawanan ini, ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe wajar untuk memberikan peluang kepada Shahrel Fikri beraksi sebagai penyerang utama skuad negara. Jika Shahrel menampilkan aksi yang baik ketika diletakkan di posisi tersebut, maka Cheng Hoe sudah mempunyai calon yang sesuai untuk mengetuai jentera serangan negara.

    Kami berpendapat dengan adanya Shahrel sebagai penyerang, dibantu oleh dua pemain sayap lincah seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid, tidak mustahil pasukan negara mampu mencipta sesuatu dalam kejohanan yang kali terakhir dimenangi ialah pada edisi 2010 lalu.

    Apa yang pasti, Shahrel perlu mengekalkan prestasi dan juga momentum semasa beliau bagi memastikan prestasi pasukan kebangsaan boleh diteruskan pada baki tiga perlawanana akan datang.

    Apa pendapat anda mengenai persembahan Shahrel Fikri Fauzi ketika diletakkan sebagai penyerang utama pasukan negara pada perlawanan menentang Kemboja ? Wajarkah beliau dikekalkan untuk beraksi di posisi tersebut pada perlawanan akan datang ?

    Atau Tan Cheng Hoe perlu menurunkan penyerang yang lebih berkaliber berbanding Shahrel ?

    Baca Juga: Liga Thailand Mantapkan Permainan Shahrel Fikri

    Leave a comment

    Your email address will not be published.