• Ketua jurulatih pasukan Kelantan, Yusri Che Lah masih lagi keliru sama ada mahu menurunkan Shafiq Shahrudin ataupun Cristiano Santos di bahagian serangan pasukan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2018 menentang Sabah.

    Yusri berkata beliau mahu memastikan penyerang yang diturunkan malam ini mampu melaksanakan tugas dengan berkesan dan merobek gawang lawan.

    “Sabah mempunyai benteng kental dan sukar diatasi terutama pertahanan importnya (Francis Kasonde) dan pemain skuad kebangsaan, Rawilson Batuil yang menjadi tulang belakang pasukan itu.

    “Saya sudah mengkaji permainan kedua-dua pemain itu dan diakui memang menjadi satu cabaran besar kepada mana-mana penyerang untuk melepasi kawalan mereka.

    “Untuk itu, saya akan merangka strategi untuk menembusi benteng Sabah dan perlu memastikan pemain yang diturunkan mampu melaksanakan misi itu.

    “Jadi, sama ada Shafiq atau Santos, saya hanya akan membuat keputusan pada saat akhir. Apa yang pasti hanya salah seorang saja akan diturunkan dalam kesebelasan utama sementara seorang lagi akan bertindak sebagai pengganti bila diperlukan,” jelas Yusri kepada Berita Harian.

    Kelantan berjaya mara ke peringkat suku akhir selepas berjaya menewaskan pasukan Kedah dengan keputusan 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan C.

    Sebab utama Yusri masih keliru dengan barisan serangan pasukan kerana jentera serangan Kelantan gagal untuk menampilkan permainan terbaik mereka pada perlawanan peringkat kumpulan.

    “Suku akhir perhitungan berbeza kerana ia perlawanan kalah mati. Untuk mara, kami perlu menang dan untuk menang pula, kami perlu jaringkan gol.

    “Walaupun rekod pertahanan kami bagus apabila hanya melepaskan tiga gol sepanjang Piala Malaysia setakat ini, namun di peringkat ini ia tidak memadai jika kami tidak menjaringkan gol,” katanya.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Kelantan untuk mengutip bekalan selesa pada perlawanan suku akhir pertama menentang pasukan Sabah malam ini? Mampukah Kelantan meneruskan aksi cemerlang mereka?

    Baca Juga: Pemain Tidak Boleh Dibuai Mimpi – Bibi Ramjani

    Leave a comment

    Your email address will not be published.