• Ketua jurulatih pasukan Kelantan, Yusri Che Lah tidak menyangka bahawa beliau berjaya membimbing Kelantan mara ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2018.

    Kelantan mara ke suku akhir setelah berjaya menewaskan pasukan Kedah pada perlawanan terakhir kumpulan C dengan keputusan 2-0 dimana Danial Ashraff Abdullah dan Nik Akif Syahiran berjaya menjaringkan gol.

    Yusri menganggap jaringan Nik Akif pada minit-minit terakhir perlawanan mempunyai nilai yang tersendiri terhadap diri beliau.

    “Sebaik sahaja mengetahui keputusan di Shah Alam (MISC-MIFA lawan JDT) saya terus arahkan pemain untuk mendapatkan jaringan kerana 1-0 belum memadai untuk layak ke suku akhir.

    “Namun tuah menyebelahi kita apabila jaringan Nik Akhir hadir tepat pada masanya dan saya berterima kasih kepada semua pemain yang telah mempamerkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan tersebut,” katanya kepada Utusan.

    Setelah pelbagai isu dan juga masalah yang melanda pasukan sejak awal musim ini, kejayaan mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia menjadi pencapaian yang boleh dibanggakan oleh pemain dan juga peminat The Red Warriors.

    Yusri menambah, beliau bangga dengan kemaraan pasukan Kelantan kerana pada mulanya mereka tidak diletakkan harapan yang tinggi ketika diundi bersama naib juara, Kedah dan pasukan juara, Johor Darul Ta’zim dalam kumpulan C.

    “Semua orang tahu mana mungkin kami boleh kalahkan pasukan sekuat Kedah lebih daripada satu gol. Namun, kami buktikan malam ini (kelmarin).

    “Saya bangga dengan apa yang telah dibuktikan oleh pemain apabila beraksi sebagai satu unit dan akhirnya Kelantan keluar sebagai pemenang dalam pertemuan penuh dramatik itu,” katanya.

    Kelantan layak ke suku akhir menerusi perkiraan bolos dengan pesaing terdekat MISC-MIFA bersama Kedah meskipun masing-masing terikat lapan mata. Kelantan dijadualkan menentang pasukan Sabah nanti.

    Apa pendapat anda mengenai kemaraan pasukan Kelantan ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2018 ? Mampukah mereka mencipta kejutan sekaligus meneruskan kemaraan sehingag ke perlawanan akhir bagi saingan edisi kali ini ?

    Baca Juga: Kelantan Dan Negeri Sembilan Kekal Di Saingan Liga Perdana

    Leave a comment

    Your email address will not be published.