Sumber Gambar: Terengganu FC

Penjaga gol senior Terengganu FC, Mohd Suffian Abdul Rahman mahu menggunakan pengalaman luas beliau ketika pasukan bimbingan Irfan Bakti ini menghadapi juara bertahan, Johor Darul Ta’zim pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Penjaga gol berusia 40 tahun ini mahu memastikan TFC mencatat keputusan positif apabila beraksi di laman sendiri sebelum bergerak ke Larkin bagi perlawanan kedua pada 20 Oktober nanti.

“Misi peribadi saya musim ini adalah sama dengan pasukan iaitu untuk melangkah ke final saingan piala berprestij itu. Sudah tentu pengalaman 21 tahun bergelumang dalam bola sepak akan saya gunakan sebaik mungkin bertemu JDT.

“Saya akan pastikan gawang tidak dibolosi dan berharap barisan pertahanan diketuai Igor Zonjic kebal mengekang barisan penyerang Harimau Selatan,” katanya kepada Berita Harian.

Suffian turut menggesa rakan sepasukan agar tidak terlalu merendahkan diri ketika aksi menentang JDT selain tidak memandang lawan sebagai pasukan yang terlalu kuat. Para pemain perlu menampilkan aksi terbaik mereka agar dapat mengalahkan juara bertahan Liga Super musim 2018 itu.

“Johor Darul Ta’zim adalah satu pasukan yang berpengalaman dan mempunyai pemain yang baik di setiap posisi. Kita perlu berhati-hati dengan setiap taktikal yang akan mereka gunakan.

“Kami juga harus bijak menyerap asakan lawan dan perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri. Saya jangkakan ia akan menjadi pertembungan yang menarik,” tambah Suffian Abdul Rahman.

Apa yang pasti, Terengganu FC perlu mencari bekalan selesa apabila beraksi di laman sendiri serta mereka perlu menyekat JDT daripada memperoleh gol di tempat lawan bagi memastikan impian mereka untuk mara ke perlawanan akhir terlaksana.

Barisan pemain Terengganu harus memberikan lebih perhatian kepada pemain yang sedang berada dalam prestasi terbaik ketika ini seperti Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan Fernando Elizari kerana pemain ini mampu untuk menjadi penghalang kepada Terengganu untuk melangka ke perlawanan akhir.

Juga: TMJ Idam Pusat Latihan Seperti Real Madrid

Leave a Reply