Sumber Gambar: FAM

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengatakan penyerang Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid masih lagi berada dalam perancangan beliau menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 walaupun tidak dipanggil dalam skuad menentang Sri Lanka dan Kyrgyztan.

Nama Safawi sebelum ini seringkali menjadi pilihan untuk disenaraikan dalam skuad utama pasukan kebangsaan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan. Namun, kali ini Cheng Hoe merehatkan beliau dan hanya memanggil tiga pemain daripada pasukan Johor Darul Ta’zim. Tiga pemain tersebut ialah penjaga gol, Haziq Nadzli, pemain tengah, Syamer Kutty Abba dan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin.

Meskipun tidak memanggil Safawi, Cheng Hoe menegaskan pemain berusia 21 tahun itu masih lagi berada dalam pemerhatian beliau menjelang kejohanan Piala AFF yang akan bermula November nanti.

“Safawi masih dalam perancangan untuk Piala AFF nanti tetapi kali ini kami mahu melihat pemain-pemain lain beraksi.

“Bagi aksi persahabatan kali ini, saya ingin memberikan peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan kemampuan ma­sing-masing,” katanya Kosmo.

Pada perlawanan menentang Sri Lanka, posisi yang ditinggalkan oleh Safawi dalam kesebelasan utama pada mulanya diisi oleh Shahrel Fikri. Memasuki separuh masa kedua, Cheng Hoe kemudiannya menggantikan Shahrel dengan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Sumareh menampilkan aksi yang bertenaga dimana beliau berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Sri Lanka sekaligus menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama beliau bersama skuad Harimau Malaya.

Melihat kepada prestasi semasa Sumareh, Safawi bakal menghadapi satu persaingan yang sengit bagi mendapatkan semula posisi sayap kanan yang sudah sinonim dengan beliau. Kedua-dua pemain memiliki kualiti dan kemampuan yang tersendiri dan layak untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Apa yang pasti, Safawi Rasid menjadi salah satu pemain yang menjadi harapan utama bagi mengisi barisan serangan pasukan negara. Dengan adanya Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh dan juga Safawi, krisi di barisan serangan yang dihadapi selama ini dilihat boleh diatasi dan pasukan negara mula mempamerkan taringnya di peringkat antarabangsa.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Perlu Berhati-Hati Memilih Pemain

Leave a Reply