Sumber Gambar: Perak TBG

Pasukan Perak tidak rela untuk kehilangan bekalan selesa yang diperoleh ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 di Ipoh tempoh hari apabila mereka bertandang ke Likas bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua hujung minggu ini.

Meskipun memiliki kelebihan lima gol, namun ketua jurulatih pasukan, Mehmet Durakovic tidak rela pasukan bimbingan beliau untuk beraksi sambil lewa dan membiarkan pasukan lawan melakukan comeback.

“Tidak ada istilah beri peluang. Malah jika boleh saya mahu anak buah teruskan rentak kemenangan supaya mara ke final dengan agregat besar,” katanya kepada Berita Harian.

“Sabah akan berusaha menebus maruah yang tercalar di Ipoh. Namun saya yakin pemain Perak juga ingin buktikan mereka bukan hanya jaguh kampung.”

Bekas ketua jurulatih Selangor ini menambah beliau kini sedang menunggu kepulangan empat pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan pada dua perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan. Empat pemain tersebut ialah penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, ketua pasukan, Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan dan Kenny Pallraj.

Mehmet juga mengesahkan pemain yang mengalami kecederaan pada perlawanan separuh akhir pertama, Nor Hakim Hassan kini semakin pulih daripada kecederaan yang dialami dan Mehmet berharap Nor Hakim boleh diturunkan pada Ahad ini.

“Dia semakin pulih dan saya harap dia mampu beraksi Ahad ini. Begitu juga dengan empat pemain itu. Saya berdoa mereka kembali dalam keadaan cergas, sihat serta boleh diturunkan,” tambah Mehmet.

Jika melihat kepada situasi semasa, pasukan Perak boleh dikatakan sudah meletakkan satu kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018. Namun apa saja boleh berlaku dan Sabah masih mempunyai 90 minit untuk memadam kelebihan yang dimiliki oleh Perak.

Satu lagi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada hujung minggu ini ialah pasukan Terengganu FC akan bertandang ke Larkin bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim. Terengganu membawa bekalan satu gol hasil daripada kemenangan di Kuala Terengganu.

Baca Juga: PAFA Harap Tiada Kecederaan Melanda Pemain

Leave a Reply