Sumber Gambar: MFL

Ketua jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic berkata Perak tidak akan mengambil mudah cabaran yang bakal diberikan oleh pasukan Sabah meskipun mereka mempunyai bekalan selesa pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2018.

Mehmet percaya Sabah tetap mempunyai banyak kelebihan apabila bermain di tempat sendiri termasuk sokongan penyokong setia pasukan selain pemain yang boleh beraksi dengan baik di atas padang.

“Perlawanan ini sudah pasti tidak mudah bagi kami. Secara jujurnya, kelebihan lima gol kami peroleh sebelum ini boleh dipadam bila-bila masa sekiranya pemain tidak beraksi dengan baik.

“Oleh itu, saya akan memilih pemain terbaik untuk beraksi di Stadium Likas walaupun empat pemain Perak tidak menyertai latihan bersama beberapa kali sebelum ini kerana mewakili negara,” katanya ketika ditemui Kosmo.

Mehmet menganggap perlawanan malam ini perlu diberikan perhatian yang khusus meskipun Perak mempunyai bekalan 5 gol hasil daripada kemenangan 5-0 pada perlawanan pertama.

“Saya sering memberitahu pemain untuk beraksi dengan baik dan ketepikan kelebihan yang diperoleh di Stadium Perak, Ipoh sebelum ini,” tambah Mehmet.

Mehmet juga berharap semua pemain The Bos Gaurus yang mewakili negara dan pemain utama lain tidak mengalami sebarang kecederaan pada sesi latihan terakhir sekaligus boleh beraksi dengan cemerlang pada perlawanan malam ini.

“Hanya pemain terbaik yang akan turun beraksi di Stadium Likas dan kami hanya mahukan kemenangan walaupun bermain di hadapan ribuan penyokong setia Sabah.

“Saya percaya dengan latihan yang konsisten dan disiplin tinggi daripada pemain akan menghasilkan kejayaan kepada Perak sekali gus mara ke peringkat akhir,” katanya.

Keputusan seri sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak ediai 2007.

Apa yang pasti, mereka tidak boleh mengambil ringan cabaran yang bakal diberikan oleh pasukan lawan malam ini kerana apa saja boleh berlaku.

Baca Juga: Sabah Turun Tanpa Tiga Pemain Tonggak

Leave a Reply