Sumber Gambar: Terengganu FC

Khabar gembira datang dari kem Terengganu FC menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 apabila ketua jurulatih mereka, Irfan Bakti kekal membimbing pasukan pada saingan Liga Malaysia musim hadapan. Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Selain mengekalkan Irfan Bakti bagi membimbing pasukan utama, menurut Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim pihaknya juga mengekalkan jawatan pengurus pasukan yang disandang oleh Ahmad Shahrizal Yahya dan penolong pengurus, Zul Fadli Rozi.

PBSNT turut menubuhkan satu pengurusan baru bagi mengendalikan empat pasukan yang bernaung di bawah persatuan tersebut iaitu pasukan TFC II hingga TFC IV. Pengurusan baharu ini ditubuhkan selaras dengan prestasi cemerlang yang diraih oleh pasukan tersebut musim ini.

“Bagi pasukan Terengganu FC II, pengurus pasukan disandang oleh Jasmira Othman, penolong pengurus pasukan disandang oleh Che Wan Azlizan Che Wan Abu Bakar dan ketua jurulatih kekal disandang oleh Tengku Hazman Raja Hassan.

“Bagi pasukan TFC III, pengurusnya ialah Rusdi Hamat, penolong pengurus pasukan disandang oleh Zulkifli Nawi dan Badrul Hafzan Razali akan mengisi kerusi sebagai ketua jurulatih pasukan manakala bagi TFC IV pula pengurusnya ialah Mohd Yahaya Mohd Noor, penolong pengurus Ramlee Othman dan ketua jurulatih akan disandang oleh Subri Sulong,” kata Hishamuddin kepada Sukan Sinar.

Tambah Hishamuddin, PBSNT akan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan juga sasaran tersendiri untuk semua pasukan agar berjalan dengan lebih tersusun.

Selain itu, PBSNT turut mempelawa syarikat-syarikat ataupun individu bagi menjadi sebahagian daripada penaja pasukan agar dapat mengukuhkan lagi kantung kewangan pasukan bagi saingan musim hadapan.

Apa yang pasti, prestasi cemerlang pasukan Terengganu dalam semua peringkat saingan Liga Malaysia musim ini perlu dikekalkan bagi menjadikan mereka antara pasukan yang mampu untuk mencabar kejuaraan.

Mengekalkan khidmat Irfan Bakti untuk satu musim lagi adalah langkah yang bijak kerana beliau antara jurulatih tempatan terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini.

Baca Juga: Kemana Destinasi Irfan Bakti Musim Hadapan ?

Leave a Reply